DOHA, 1 DIS – Bintang Uruguay, Luis Suarez kelmarin enggan meminta maaf kepada Ghana atas insiden 12 tahun yang lalu.
Pemain Amerika Selatan itu menyatakan pertembungan dengan negara Afrika tersebut dalam aksi Kumpulan H di Qatar pada Jumaat ini adalah ulangan semula kepada perlawanan suku akhir Piala Dunia 2010 di Afrika Selatan.
Suarez dengan sengaja menahan bola menggunakan tangan daripada masuk ke dalam gawang hasil tandukan Dominic Adiyiah pada penghujung masa tambahan.
Suarez telah dibuang padang namun Asamoah Gyan gagal untuk menyempurnakan penalti. Dengan sekelip mata, dia menjadi wira di tanah airnya, manakala Ghana terlepas peluang besar untuk menjadi negara Afrika pertama yang mara ke peringkat separuh akhir Piala Dunia.
12 tahun kemudian, ketika ditanya sama ada Ghana menganggapnya sebagai ‘syaitan’, Suarez berkata dia tidak menyesal.
“Saya takkan berkata saya minta maaf kerana menahan bola itu tetapi pemain Ghana yang terlepas penalti, bukannya saya,” katanya.
“Mungkin saya boleh meminta maaf jika saya menyakiti pemain mereka.
“Tetapi dalam hal ini, saya dilayangkan kad merah dan pengadil memberikan penalti. Ia bukannya salah saya jika mereka terlepas penalti, pemain mereka yang terlepas penalti.” – AFP
