MIAMI, 28 NOV – Bekas penyerang Barcelona dan Uruguay, Luis Suarez telah menandatangani kontrak lanjutan selama setahun dengan kelab Major League Soccer (MLS) dan akan beraksi di bawah jurulatih baharu, Javier Mascherano pada musim depan, menurut kelab tersebut.
Penyerang berusia 37 tahun itu telah menjaringkan 25 gol dalam semua pertandingan sejak menyertai kelab itu sebelum permulaan musim ini, termasuk 20 gol dalam kempen musim biasa yang memecahkan rekod Miami.
Setelah memenangi Supporters Shield untuk rekod terbaik dalam musim biasa, dengan rekod mata yang baharu, Miami telah tersingkir dari playoff pada pusingan pertama oleh Atlanta United.
Sejak itu, ketua jurulatih Argentina, Gerardo Martino telah meninggalkan kelab tersebut, dan rakan senegaranya serta bekas rakan sepasukan Suarez di Barcelona, Mascherano, telah dilantik baru-baru ini.
“Saya sangat gembira dan teruja untuk terus bermain selama setahun lagi dan dapat meluangkan masa di sini bersama penyokong, yang bagi kami seperti keluarga. Kami amat rapat dengan mereka, dan harapnya, tahun depan, kami dapat membawa lebih banyak kegembiraan kepada mereka,” kata Suarez.
Presiden operasi bola sepak Miami, Raul Sanllehi berkata Suarez telah membuktikan bahawa beliau masih merupakan penyerang bertaraf elit, tetapi juga merupakan komponen penting di dalam bilik persalinan.
“Luis bukan sahaja penjaring terbanyak kami musim ini, tetapi juga seorang pemimpin untuk pasukan. Kesan beliau tidak boleh dipandang remeh,” katanya.
Suarez mengumumkan pada bulan September bahawa beliau akan bersara daripada tugas antarabangsa dengan pasukan kebangsaan Uruguay selepas menjaringkan 69 gol dalam 143 perlawanan. – AFP