Oleh Nurdiyanah R.
Alunan dendangan irama lagu Sharifah Aini “Hai…Selamat Hari Raya…” berkumandang dan kelihatan kaum wanita berpakaian penuh keMelayuan dengan berbaju kurung dan baju kebaya.
Sementara para jejaka pula mengenakan pakaian cara Melayu dengan pelbagai corak samping atau sinjang di atas pentas, bersongkok dan berkaca mata sambil menyanyikan lagu-lagu lama serta ada juga yang menari mengikut irama lagu.
Tidak kurang juga adanya hiasan rumah ala desa dan pelbagai kuih-muih tradisional turut menjadi hidangan utama untuk dinikmati bersama. Begitu indah dan menawan hati seakan-akan penulis betul-betul masuk ke zaman mereka dan mengimbas nostalgia berhari raya di kampung halaman yang sememangnya sesuatu detik istimewa yang sukar ditemui dalam peredaran zaman yang semakin moden ini.
Suasana retro
Bagi menghidupkan semua tradisi dan semangat cinta kepada budaya Melayu dalam menyambut suasana tradisi berhari raya di kampung, Sekolah Rendah (SR) Sinaut, Daerah Tutong telah mengadakan majlis sambutan Hari Raya Aidilfitri bertemakan ‘Retro Balik Kampong ala 60an dan 70an’ yang berlangsung di dewan sekolah berkenaan, baru-baru ini.

Seramai 200 orang yang terdiri daripada murid-murid, ibu bapa dan guru-guru serta para kakitangan telah memeriahkan majlis dengan menyingkap kembali nostalgia suasana berhari raya semasa berada di desa yang permai lagi penuh alam kehijauan sekitar tahun 1960an dan 1970an, barangan perhiasan rumah seperti jam lama, radio, basikal tua dan lampu pelita dan sebagainya serta dihiasi lagi dengan barangan keperluan harian antara bekas yang berbentuk bulatan untuk menyimpan hidangan makanan di meja ruangan bilik tamu yang dikenali sebagai ‘uput’.
Keenakan pelbagai kuih tradisional seperti bahulu, sapit, jala, kuripit dan penyaram turut menjadi juadah utama yang disusun cantik di atas meja kayu berserta pinggan dan cawan kaca untuk dinikmati bersama minuman botol kaca yang semuanya pasti mampu mengimbas kenangan lama bersama keluarga, saudara mara dan sahabat handai tersayang sewaktu menetap di kampung halaman.
Sentiasa dekat di hati
Salah seorang guru di sekolah tersebut, Awang Mohd Shahrol Redhwan bin Haji Mohd Yussof menjelaskan bahawa acara tersebut bertujuan bagi mengimbas kembali keindahan.
Menurut Awang Mohd Shahrol Redhwan bin Haji Mohd Yussof, selaku salah seorang guru sekolah berkenaan menjelaskan bahawa acara sambutan nostalgia berhari raya zaman dahulu itu menjelaskan bahawa dengan adanya acara sebegini ia sememangnya bertujuan bagi mengimbas kembali keindahan dan kemeriahan suasana masyarakat Melayu khususnya di negara ini semasa menyambut hari kemenangan sekitar zaman antara 60an hingga70an dalam kalangan para murid, ibu bapa dan guru-guru serta para kakitangan sekolah agar tidak pupus ditelan zaman.
“Dengan adanya acara sebegini, ia sememangnya menjadi detik-detik terindah bagi kami semua dalam sama-sama merasai keunikan suasana berhari raya pada masa silam dan ia adalah pengalaman terindah yang seakan-akan sentiasa dekat di hati dan jiwa kami.
“Selain itu, inilah juga peluang yang sangat sesuai untuk kami semua dalam sama-sama menghidupkan lagi ikatan silaturahim dan persaudaraan sesama Islam, lebih-lebih lagi dengan kedatangan bulan Syawal ini,” ucapnya dengan nada kesyukuran semasa mengakhiri sesi temu bual bersama wartawan Media Permata, baru-baru ini.