Oleh Syahmi Hassan
Gambar oleh Bahyiah Bakir
BANDAR SERI BEGAWAN, 27 Jun – Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Perdana Wazir Sahibul Himmah Wal-Waqar Pengiran Muda Mohamed Bolkiah dan Yang Teramat Mulia Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Hajah Zariah, kelmarin berkenan mengadakan rumah terbuka sempena Hari Raya Aidilfitri di Balai Penghadapan Bukit Kayangan, di sini.
Berangkat ke majlis tersebut ialah Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Bendahara Seri Maharaja Permaisuara Pengiran Muda Haji Sufri Bolkiah dan Yang Amat Mulia Pengiran Bini Hajah Faizah; Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Digadong Sahibul Mal Pengiran Muda Haji Jefri Bolkiah, Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Masna; Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Nor’ain; Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Amal Umi Kalthum Al-Islam; Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Amal Rakiah serta ahli-ahli kerabat diraja yang lain.
Pada majlis tersebut, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Perdana Wazir dan Yang Teramat Mulia Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Hajah Zariah berkenan menerima junjung ziarah dan beramah mesra bersama para tetamu yang hadir.
Turut mengalu-alukan jemputan ialah anakanda-anakanda serta cucunda Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Perdana Wazir.
Majlis rumah terbuka Duli Yang Teramat Mulia turut dihadiri para menteri kabinet, ketua-ketua perwakilan asing di Negara Brunei Darussalam serta pegawai-pegawai kerajaan dan swasta.




