Suasana hiba saat anggota keluarga bertemu tahanan

BANTEAY MEANCHEY, Kemboja, 13 Feb – Setelah 65 hari Yusuf Islam ditahan bersama 46 warga Malaysia di negara ini, akhirnya Zunita Sedini bertemu anak sulungnya di Penjara Provinsi Banteay Meanchey hari ini. Pertemuan singkat penuh emosi itu turut memberi kesan kepada tahanan lain yang turut sama mengalirkan air mata menyaksikan dua beranak itu berpelukan melepaskan rindu.

Kehadiran Zunita, 42, tidak hanya membawa kegembiraan kepada Yusuf, 21, tetapi turut membawa beberapa keping surat yang dikirim anggota keluarga sebagai pengganti diri kerana tidak dapat ikut serta melawat mereka.

“Hati ibu mana tidak sedih melihat anak berpakaian baju banduan berwarna jingga. Bagaimanapun saya bersyukur Yusuf sihat dan kelihatan tenang dengan kejadian yang menimpa,” katanya kepada Bernama News Channel di sini hari ini.

“Ada ibu bapa yang menitipkan surat untuk anak mereka dan minta saya pesan agar kesemua mangsa jaga diri sepanjang ditempatkan di penjara,”

Zunita antara anggota keluarga yang turut serta dalam rombongan diketuai Anggota Parlimen Julau, Larry Sng Wei Shien bersama petugas media yang berlepas ke Kemboja bagi melawat tahanan pagi ini.

Sementara itu, Yusuf yang kelihatan sebak setelah bertemu ibunya melahirkan rasa kesyukuran dan berharap rakyat Malaysia mendoakan beliau dan tahanan lain dibebaskan dalam masa terdekat.

Dalam pertemuan itu juga Sng sempat menyampaikan pesanan kepada kesemua tahanan mengenai keprihatinan kerajaan terhadap kejadian yang menimpa mereka.

“Setiap hari media Malaysia mengeluarkan berita mengenai kalian. Kerajaan sedang melakukan perancangan bersama pihak berkuasa Kemboja agar meneliti kes ini dengan sebaiknya,” – Bernama

Larry Sng Wei Shien ketika sidang media di Kuching pada 7 Februari lalu mengenai nasib 47 rakyat Malaysia yang ditahan di Kemboja tanpa bicara dan tidak dimaklum kepada pihak Kedutaan Malaysia. Larry bersama petugas media berlepas ke Kemboja bagi melawat tahanan, kelmarin. – Bernama