LABUAN – Seekor kucing kelihatan berkeliaran namun, malam itu rutinnya sedikit berbeza.
Di seberang jalan terdapat pagar kawat berduri. Kucing itu berhenti, seakan tertanya-tanya sama ada selamatkah jika ia melintasi sekatan itu.
Haiwan itu tidak bersendirian, jurugambar Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Labuan Abdull Muqtadir Halim turut ‘berkeliaran’ bersama kameranya untuk mengambil gambar suasana pada malam pertengahan Jun itu.
Lapan lokaliti di Labuan berada di bawah sekatan pergerakan penuh dari 15 hingga 28 Jun berikutan peningkatan kes jangkitan COVID-19. Setakat 24 Jun, Labuan merekodkan 7,507 kes COVID-19.
“Ini adalah peluang terbaik buat saya, sebagai jurugambar untuk mengambil gambar apa yang orang lain tidak dapat lihat kerana mereka perlu kekal berada di rumah semasa sekatan pergerakan penuh. Tiada kata-kata yang mampu untuk menggambarkan apa yang diceritakan sekeping gambar,” kata Abdull Muqtadir kepada penulis.
Tempat kerja ditutup, pengangkutan awam menanti penumpang dan orang ramai duduk di rumah, Labuan kelihatan sepi.
Walaupun bukan secara keseluruhan, Abdull Muqtadir terlihat sese-orang di luar pasar raya yang tutup, sedang mendapatkan pengangkutan untuk membawanya pulang, bersama-sama sekampit beras.
Selama lapan malam berturut-turut dari 15 Jun, Abdull Muqtadir, lengkap dengan kameranya dan permit yang diperlukan, menunggang motosikalnya ke serata tempat di Labuan.
“Saya melihat awan, burung, haiwan terbiar. Sukar melihat manusia, kawasan jadi senyap sunyi…ada keindahan, ada kedamaian,” katanya.
Bagaimanapun katanya, Hospital Labuan penuh dengan kehidupan. Terdapat doktor dan jururawat yang mengenakan sut peralatan perlindungan diri (PPE) bagi merawat pesakit COVID-19.
Meluangkan masa sehari di pusat kuarantin pula, beliau mengambil gambar pesakit yang tua dan juga kanak-kanak yang menghabiskan tempoh kuarantin di pusat itu.
“Saya dapat merakam ‘kesepian’,” katanya dan menambah suasana yang sama dirasai di tanah perkuburan pesakit COVID-19 yang meninggal dunia.
“Ia paling tragik, tiada bunga, tiada kehadiran saudara-mara, tiada juga lambaian terakhir untuk mereka yang meninggal dunia,” katanya. – Bernama