Thursday, January 30, 2025
23.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Suasana meriah Sambutan Hari Keputeraan Baginda Sultan

    Oleh Nurdiyanah R. –

    Pelepasan 21 das tembakan meriam berdekatan Taman Haji Sir Muda Omar ‘Ali Saifuddien telah menyemarakkan suasana ibu negara dalam sama-sama menyambut keberangkatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam untuk Istiadat Barisan Kehormatan sempena meraikan Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Baginda ke-77, di sini, kelmarin.

    Keberangkatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam telah dialu-alukan dengan kibaran bendera kecil kebangsaan dan pukulan hadrah oleh penuntut-penuntut sekolah dari pelbagai institusi yang berbaris di sepanjang jalan menuju ke Istiadat Barisan Kehormatan tersebut.

    Berangkat sama ke istiadat tersebut, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri; Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik; Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen; Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Bendahara Seri Maharaja Permaisuara Pengiran Muda Haji Sufri Bolkiah; dan Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Digadong Sahibul Mal Pengiran Muda Haji Jefri Bolkiah.

    Turut hadir ialah tetamu khas Baginda Sultan, termasuk Menteri Kesihatan Singapura, Tuan Yang Terutama Ong Ye Kung; Ketua Menteri Sabah, TYT Datuk Seri Panglima Haji Hajiji bin Haji Noor; Ketua Turus Pertahanan Angkatan Bersenjata Diraja Thai, Jeneral Dato Paduka Seri Chalermphon Srisawasdi dan Jeneral Tentera Nasional Indonesia, Jeneral Dato Paduka Seri Andika Mohamad Perkasa.

    Pada majlis itu, Baginda Sultan telah berkenan berangkat memeriksa pasukan-pasukan perbarisan yang terdiri daripada 1,233 anggota Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) dan Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB), sebelum anggota-anggota pasukan beruniform berarak melepasi Pentas Diraja.

    Kemuncak istiadat ialah laungan tiga kali ‘Daulat Kebawah Duli Tuan Patik’ yang disembahkan oleh kesemua pasukan yang mengambil bahagian, disusuli Hormat Diraja dan terbang lalu pesawat helikopter Tentera Udara Diraja Brunei (TUDB).

    KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah berkenan berangkat ke Istiadat Barisan Kehormatan di Taman Haji Sir Muda Omar ‘Ali Saifuddien baru-baru ini. Turut berangkat DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik, DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen, DYTM Paduka Seri Pengiran Bendahara Seri Maharaja Permaisuara Pengiran Muda Haji Sufri Bolkiah dan DYTM Paduka Seri Pengiran Digadong Sahibul Mal Pengiran Muda Haji Jefri Bolkiah. – Gambar oleh Infofoto & Khayr Zakariyya
    Kebawah Duli Yang Maha Mulia berkenan berangkat memeriksa pasukan-pasukan perbarisan. – Gambar oleh Infofoto & Khayr Zakariyya
    Antara tetamu jemputan khas yang hadir pada acara berkenaan. – Gambar oleh Infofoto & Khayr Zakariyya
    Antara pelajar yang menyertai pengibaran bendera di sepanjang jalan menuju ke Istiadat Barisan Kehormatan tersebut. – Gambar oleh Infofoto & Khayr Zakariyya
    Laungan tiga kali ‘Daulat Kebawah Duli Tuan Patik’ yang disembahkan oleh kesemua pasukan yang mengambil bahagian. – Gambar oleh Infofoto & Khayr Zakariyya
    Orang ramai teruja menyaksikan acara di Taman Haji Sir Muda Omar ‘Ali Saifuddien. – Gambar oleh Infofoto & Khayr Zakariyya
    Gambar oleh Infofoto & Khayr Zakariyya

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda