Tuesday, April 15, 2025
26.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Suasana perayaan Festival air Thingyan disambut sederhana

    MANDALAY, 13 APRIL – Ribuan rakyat Myanmar menyambut permulaan Festival Air Thingyan hari ini, di tengah-tengah runtuhan akibat gempa bumi kuat yang melanda negara itu bulan lalu. Namun, suasana perayaan yang biasanya meriah, tahun ini suram disebabkan tragedi bencana tersebut.

    Festival Thingyan yang lazimnya disambut dengan upacara percikan air sebagai simbol penyucian dan pembaharuan sempena tahun baru Myanmar, terjejas teruk khususnya di bandar-bandar utama seperti Mandalay dan Sagaing, yang kini musnah selepas dilanda gempa bumi berkekuatan 7.7 magnitud.

    Dua minggu selepas bencana yang telah meragut lebih 3,600 nyawa itu, ratusan penduduk masih berlindung di khemah-khemah sementara yang didirikan di celah-celah runtuhan pangsapuri, kedai teh, dan hotel-hotel yang musnah.

    Sebahagian besar mangsa masih tidak mempunyai kemudahan tandas yang berfungsi dan terpaksa beratur panjang untuk mendapatkan bekalan air minuman. Ramalan cuaca yang menjangkakan hujan lebat menambah lagi kebimbangan mereka yang hanya bergantung kepada tempat tinggal sementara.

    Seawal pagi hari ini, keluarga-keluarga dilihat membeli pasu tanah liat dan anak pokok untuk diletakkan di dalam rumah sebagai simbol penyambutan tahun baharu meskipun ada dalam kalangan mereka yang tidak lagi mempunyai rumah.

    Seorang kanak-kanak menyimbah air ke arah pengunjung yang menaiki beca sempena hari pertama Festival Air tahunan yang juga dikenali sebagai ‘Thingyan’, di Yangon, Myanmar, pada 13 April. – AP

    “Semua orang dalam kesusahan tahun ini,” kata Ma Phyu, 55 tahun, yang kini tinggal di khemah bersama sembilan ahli keluarganya di utara Istana Diraja Mandalay, yang turut rosak akibat gempa.

    “Saya tetap perlu menyediakan pasu bunga kerana itu tradisi kami. Tapi hati saya sungguh berat.”

    Anak-anak dalam keluarganya dilarang bermain air di jalanan kerana bimbang akan dikritik oleh jiran tetangga yang masih dalam suasana berkabung.

    Pihak junta tentera Myanmar turut mengarahkan sambutan festival lima hari itu diadakan tanpa muzik atau tarian sebagai tanda penghormatan kepada mangsa tragedi.

    Sejak gempa melanda pada 28 Mac lalu, suhu di Mandalay melonjak sehingga mencecah 44 darjah Celsius, manakala waktu malam penghuni khemah berdepan dengan serangan nyamuk sebelum bangun seawal pagi untuk beratur mendapatkan bantuan.

    Menurut angka rasmi, lebih 5,200 bangunan telah musnah, manakala Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) melaporkan lebih dua juta penduduk terjejas dan kini memerlukan bantuan segera. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda