Oleh Nurdiyanah R.
Apabila menyaksikan pelbagai perhiasan dan dekorasi berwarna merah bersalut keemasan dipasang di mana-mana pastinya sudah pasti diketahui umum bahawa ia adalah simbolik kepada menjelangnya tahun baharu bagi masyarakat Tionghua di seluruh dunia.
Lantaran itu, negara kita juga turut tidak ketinggalan merasai suasana kemeriahannya, sesetengah penduduk di negara ini yang terdiri daripada bangsa Cina setentunya merayakan Tahun Baharu Cina pada 22 Januari ini. Pada saat itulah mereka mengadakan rumah terbuka untuk mengeratkan lagi silaturahim dalam kalangan ahli keluarga serta sahabat handai terdekat dengan meluangkan masa bersama.
Selain itu, perhiasan tanglung merah dalam variasi bentuk dan saiz juga dapat dilihat digantung menjadi penyeri bukan hanya di kediaman masing-masing bahkan meliputi gedung-gedung perniagaan, pejabat-pejabat dan sebagainya.
Begitu juga pelbagai jenis bunga dan pokok limau hiasan yang berwarna terang biasanya menjadi hiasan tradisi yang sering mewarnai detik-detik kemeriahan Sambutan Tahun Baharu Cina. Lebih menyeronokkan lagi apabila masyarakat yang bukan hanya daripada bangsa Cina juga dilihat begitu teruja menikmati buah-buah limau mandarin yang lazimnya banyak dijual di mana-mana sebagai simbolik kedatangan hari perayaan berkenaan.
Di sebalik simbol binatang arnab
Dalam kitaran kalendar lunar masyarakat Cina, terdapat 12 binatang telah dipilih sebagai simbol dalam Tahun Baharu Cina yang terdiri daripada tikus, lembu, harimau, arnab, naga, ular, kuda, kambing, monyet, ayam, anjing dan khinzir. Setiap haiwan membawa pengertiannya yang tersendiri.



Sementalahan itu, melabuhkan tirai tahun 2022 dengan haiwan harimau dalam zodiak Cina, sambutan ini menandakan bermulanya zodiak haiwan arnab bagi tahun 2023. Secara lazimnya, menurut kepercayaan masyarakat Cina, haiwan arnab memberikan gambaran umur yang panjang, keamanan, dan kemakmuran.
Semestinya mereka yang meraikan acara perayaan tersebut begitu mengharapkan untuk dikurniakan tuah yang lebih baik dari tahun sebelumnya dari segala aspek kehidupan termasuk kesihatan dan pendapatan. Bagi masyarakat Cina sendiri, hari pertama tahun baharu itu melambangkan titik permulaan nasib yang baharu dalam kehidupan mereka yang diraikan dengan penuh adat resam mengikut kepercayaan dan pantang larang yang diamalkan oleh nenek moyang merekea sejak turun-temurun lagi.
Salah satunya adat kepercayaan yang diamalkan oleh mereka adalah memastikan keadaan rumah tidak kira bahagian dalaman atau sekeliling rumah harus dalam keadaan bersih sebelum tibanya sambutan tahun baharu berkenaan. Perkara ini adalah penting berikutan daripada terdapatnya larangan untuk menyapu bahkan kelengkapan untuk membersihkan kawasan rumah seperti penyapu, berus dan lain-lain hanya di simpan di dalam tempat yang tersembunyi dan dilarang daripada menggunakannya berikutan daripada kepercayaan mereka bahawa perbuatan menyapu pada hari tersebut secara tidak langsung dapat menolak segala tuah untuk masuk ke dalam rumah.
Merah Warna Bertuah
Merah melambangkan api yang menurut legenda masyarakat Cina ia boleh menghindari nasib malang dan dikaitkan dengan nasib yang baik dan kebahagiaan. Oleh itu, tidak hairanlah, warna utama yang sering ditampilkan dalam kebanyakan dekorasi secara tradisinya adalah merah dan emas di mana ia jelas cukup tidak asing lagi dalam kalangan masyarakat mereka.
Sementara pakaian berwarna merah pula menjadi pilihan utama sewaktu sambutan tersebut memandangkan warna yang terang itu dianggap sebagai warna ceria kerana diyakini dapat memberikan penampilan yang ceria kepada para pemakai sekaligus menjamin masa depan yang cerah kepada mereka di sepanjang tahun.
Berkumpul bersama insan-insan tersayang, saling bersapa dengan ungkapan ‘Gong Xi Fa Chai’ pula digunakan sebagai satu ucapan sempena kehadiran Tahun Baharu Cina yang memberi makna kemakmuran dan kegembiraan yang berpanjangan. Selain itu, anak-anak kecil juga setentunya berasa teruja apabila menerima sampul surat merah berisi wang yang dikenali sebagai ang pau.
Pada hakikatnya, merah bukan sahaja dianggap sebagai warna bertuah bagi kaum Cina bahkan mengikut kepercayaan mereka ia juga berupaya untuk menakutkan sejenis raksasa yang dikenali sebagai Nian. Menurut tradisi kepercayaan mereka, raksasa tersebut sering mengganas dengan merosakkan segala tanaman sekaligus menjadi penghalang kepada sumber kekayaan dan hal itulah yang cuba dielakkan oleh masyarakat mereka sempena dengan kehadiran tahun baharu.
Kemeriahan ‘Makan Besar’
Jika Hari Raya Aidilfitri atau Aidiladha yang diraikan oleh masyarakat Melayu begitu popular dengan ketupat dan rendang, bagaimana pula dengan perayaan Tahun Baharu Cina? Dalam pada itu, makan besar bersama ahli keluarga merupakan salah satu perkara yang begitu menarik dilakukan ketika menyambut perayaan berkenaan.
Setiap hidangan istimewa tersebut disusun di atas pinggan dalam jumlah yang tidak sekata serta diletakkan di atas meja yang dihias cantik dengan lapik meja berwarna merah. Antara hidangan yang sering menjadi pilihan ialah Yee Sang, ikan kukus, kuih bakul, dumpling, popia dan mi yang masing-masing mempunyai simboliknya yang tersendiri.
Oleh itu, rasanya masih belum terlambat untuk mengucapkan Selamat Tahun Baharu Cina kepada semua masyarakat berbangsa Cina di mana pun berada daripada kami warga Media Permata. Semoga kehidupan sentiasa diserikan dengan penuh kebahagiaan dalam meniti hari-hari mendatang.

