Oleh Salawati Haji Yahya
Gambar oleh Rahwani Zahari
BANDAR SERI BEGAWAN, 26 APRIL – Suasana bulan Ramadan pada tahun ini cukup berbeza dari tahun sebelumnya, apabila semua gerai Ramadan yang biasanya tumbuh seperti cendawan ditiadakan dalam usaha mengawal penularan COVID-19 di negara ini.
Beberapa orang peniaga yang sering menyertai gerai Ramadan setiap tahun, ketika ditemu bual, menyahut baik langkah yang diambil oleh pihak berkenaan demi kebaikan semua.
Haji Tasim bin Baha, 57, menjelaskan bahawa langkah yang diambil oleh pihak berkenaan dalam mengawal penularan COVID-19 adalah satu langkah yang baik, walaupun dalam beberapa hari ini tidak ada kes baharu dicatatkan tetapi ia masih perlu untuk kita sama-sama bekerjasama.
“Walaupun setiap menjelang Ramadan di mana bulan ini saja kami beroleh rezeki yang berganda tetapi dengan peniadaan gerai Ramadan tahun ini, ia tidak mematahkan semangat kami untuk terus berniaga melalui konsep yang berlainan.
“Pada tahun yang sudah, kami berniaga secara terbuka atau langsung tetapi untuk tahun ini, kami membuat secara tempahan di alam maya iaitu online dan ia sesuatu yang baharu terutama bagi peniaga biasa yang tidak berjual beli dalam talian,” tambahnya.


Beliau seterusnya menambah, walaupun hasilnya kurang berbanding berniaga secara langsung, melihat negara berhadapan dengan pandemik ini, perkara tersebut perlu dketepikan.
“Kita semua mengharapkan keadaan akan kembali seperti biasa secepatnya dan dengan mempraktikkan cara yang disarankan oleh pihak Kementerian Kesihatan akan dapat membantu untuk mencapai apa yang dihasratkan,” ujarnya.
Sementara itu, salah seorang penduduk yang ditemui, Dayang Hamidah binti Haji Mat Jais pula berkongsi bahawa dengan peniadaan gerai Ramadan, ia dapat mengeratkan lagi hubungan kekeluargaan terutama dalam membuat persediaan juadah bersungkai.
“Selain itu, kita juga dapat menyediakan menu makanan sihat yang sesuai dinikmati semasa waktu berbuka dan mengelakan pembaziran,” ujarnya.
Manakala itu, bagi Dayang Kaniz binti Abdul Shakoor, walaupun gerai Ramadan ditiadakan namun orang ramai boleh membeli melalui dalam talian seperti yang disarankan oleh pihak berkenaan.
“Bagi mereka yang sebelum ini lebih suka kepada hidangan yang siap sedia untuk dimakan seperti membeli di gerai-gerai Ramadan, tapi untuk kali ini juadah berbuka puasa akan dimasak sendiri sahaja.
“Dengan peniadaan gerai Ramadan ini juga, ia dapat mengeratkan hubungan keluarga antara anak dan ibu dalam sama-sama menyediakan juadah bersungkai,” tambahnya.