Gambar Bernama
KUALA LUMPUR – Selain daripada namanya yang mungkin lain daripada yang biasa, Restoran White N Black Kampung Heritage ini yang mula beroperasi pada tahun 2022, jika dilihat dari luar mungkin kelihatan seperti biasa-biasa sahaja.
Namun sebaik sahaja sampai di depan restoran dua tingkat ini, kemudian melangkah masuk melalui pintu diperbuat daripada kayu, dibeli khas dari Kampung Morten, Melaka, akan kelihatan hiasan dalaman yang banyak memaparkan identiti tradisi rumah kampung.
Terletak antara deretan rumah kedai di Jalan Kamunting, Dang Wangi, Kuala Lumpur (berhampiran Hotel Shangri-La), Ketua Pegawai Eksekutif White N Black Kampung Heritage, Mohd Firdaus Jamaluddin, 36, berkata, pihaknya mahu pengunjung mengimbau nostalgia zaman silam dengan membawa banyak peralatan tradisional seperti lesung penumbuk padi, tempayan air tembaga dan batok (perkakas mencedok air daripada tempurung kelapa), beca lama serta gramafon pemain piring hitam, memenuhi ruang utama restoran berkenaan.
Selain kerusi meja makan yang dibalut dengan kain batik bagi menyerlahkan lagi nilai seni estetik, gerobok kayu serta pelbagai dulang besi berwarna-warni yang sering digunakan ketika kenduri-kendara suatu ketika dahulu, turut menghiasi ruangan dinding restoran.
Pelbagai menu masakan tradisional Melayu kampung turut dihidangkan bersama set pinggan mangkuk klasik yang pastinya menjadi tarikan utama bagi mereka yang rindukan suasana kampung untuk menjamu selera bersama keluarga.
Untuk menambah nostalgia, pelbagai lagu lama turut dimainkan termasuk ‘Bunyi Gitar’ dan ‘Getaran Jiwa’ oleh Seniman Agung, Allahyarham Tan Sri P.Ramlee.
Suntik kelainan
Sebelum menceburi bidang perniagaan restoran, Mohd Firdaus bekerja dalam bidang perbankan sebagai penolong pengurus dan Restoran White N Black Kampung Heritage ini adalah yang ketiga diusahakannya.
Restoran pertama, White N Black Cabin dibuka di Kuantan pada tahun 2019 dan yang kedua, White N Black Lakeside di Tasik Titiwangsa, Kuala Lumpur, dibuka pada tahun 2022.
Menurut Mohd Firdaus, beliau memilih konsep suasana kampung untuk restorannya bagi mengubat kerinduan terhadap kampung halamannya di Sungai Petani Kedah serta menu kampung yang sering dimasak oleh ibunya, Wan Salmah Meor Abdul Hamid
“Sebenarnya, idea mewujudkan restoran ini apabila saya sering merindui masakan kampung seperti lauk ikan pekasam dan kerabu perut yang sering dimasak ibu, namun perlu balik ke Kedah untuk mendapatkannya.
“Selain itu kita rasakan tidak ada setakat ini mana-mana restoran di Lembah Klang yang menawarkan menu masakan kampung dengan pengalaman suasana desa sepenuhnya seperti yang kami lakukan di sini,” katanya ketika ditemui Bernama baru-baru ini.
Kerinduan itu membuatkan bapa kepada tiga orang anak ini melihat ada potensi perniagaan untuk mengkomersialkan makanan warisan tradisional untuk dinikmati khususnya warga kota yang rindukan masakan berkenaan tanpa perlu keluar dari pusat bandar.
Menariknya, menu yang ditawarkan di restoran ini ternyata cita rasa satu Malaysia dengan mengambil inspirasi lauk pauk popular setiap negeri seperti daging salai dan pucuk ubi masak lemak (Negeri Sembilan), asam pedas ikan pari (Melaka) di samping tempoyak patin, patin masak pais dan ikan pari bakar (Pahang).
Dengan harga berpatutan antara RM30 hingga RM70 mengikut jenis lauk yang dipesan, Mohd Firdaus berkata, pelanggan ke restorannya bukan sahaja orang tempatan tetapi juga pengunjung luar negara yang turut ingin menikmati keunikan suasana restoran.
Beliau menambah, kebanyakan pengunjung luar juga ingin merasai sendiri makanan tradisional termasuk nasi kerabu dan menu berasaskan tempoyak.
Sentiasa tambah baik
“Sejak restoran ini beroperasi pada Oktober 2022, kita tidak putus-putus menerima kunjungan pelanggan dan artis terkemuka, Datuk Seri Siti Nurhaliza, Adira, Melly Goeslow dan Datuk Aaron Aziz.
“Namun lebih menarik, ramai pelanggan luar negara termasuk daripada kedutaan dan pelabur turut meluangkan masa mereka merasai sendiri juadah tradisional yang disediakan di sini,” katanya.
Oleh itu, beliau mengambil pendirian untuk sentiasa melakukan penambahbaikan dari semasa ke semasa bagi membolehkan pelanggan merasai sesuatu yang baharu berbanding kunjungan sebelum ini.
Penilaian akan dilakukan setiap enam bulan dan antara yang menjadi tumpuan tambah baik adalah dari segi hiasan dalaman dan juga penyediaan lauk-pauk.
“Dalam tempoh itu, kita akan lihat apa yang boleh kita lakukan untuk tambah nilai restoran. Misalnya, dalam masa terdekat, kami bercadang gantikan bumbung restoran dengan atap zink bagi menampakkan lagi suasana kampung.
“Untuk menu makanan pula, kita ingin tambah lebih banyak menu lauk-pauk negeri dan pencuci mulut tradisional seperti pengat pisang dan bubur cha cha. Setakat ini kita hanya ada satu pencuci mulut iaitu sagu gula merah. Kita perlu buat begini kerana tidak ingin pelanggan bosan dengan menu sedia ada,” katanya.
Usaha hingga jaya
Walaupun sudah boleh dianggap berjaya, namun Mohd Firdaus mengakui beliau melalui pelbagai cabaran untuk sampai ke tahap sekarang termasuklah mengambil keputusan sukar menutup restoran pertamanya White N Black Cabin.
Berkonsepkan hipster, restoran pertamanya dibuka selepas berhenti kerja dan mengenai penggunaan jenama White N Black, beliau menjelaskan, ia merujuk kepada bendera negeri Pahang iaitu warna putih dan hitam.
Jelas beliau, idea nama itu disebabkan lokasi perniagaan dalam bidang F&B adalah di Kuantan, Pahang, maka terhasil White N Black Cabin yang menggunakan konsep sepenuhnya dari kabin.
“Menceburi bidang perniagaan ini adalah mengikut jejak langkah arwah ayah saya yang juga seorang pesara tentera. Beliau menceburi bidang perniagaan iaitu menjalankan kerja-kerja perkhidmatan pembersihan bangunan, namun tidak dapat bertahan lama. Oleh kerana jiwa berniaga, maka saya juga turut terjun dalam bidang perniagaan.
“Keberanian dalam perniagaan adalah kepuasan dalam hidup saya terutama saya rasa puas apabila dapat menghidangkan makanan kepada pelanggan dan mereka menggemarinya,” kata Mohd Firdaus.
Mohd Firdaus turut menasihatkan golongan usahawan supaya tidak mudah mengalah biarpun berhadapan pelbagai dugaan dan kerugian kerana pelbagai cabaran perlu ditempuhi sepanjang tempoh mematangkan perniagaan. – Bernama