Oleh Haji Mohd Daud Abdul Rahman
Sambutan Hari Raya Aidilfitri pada zaman dahulu dan sekarang sangat ketara perbezaannya apatah lagi kita sudah berada di arus perkembangan teknologi moden.
Lazimnya, pada zaman dahulu sambutan Hari Raya Aidilfitri merupakan waktu yang sangat dinanti-nantikan oleh kanak-kanak malah mereka begitu bersemangat dengan memotong baju terlebih awal, menggunakan kasut baharu, topi baharu dan sebagainya.
Begitu juga dengan kaum wanita, mereka akan berhias cantik dan memakai harum-haruman namun mereka dilarang untuk mengeritingkan rambut kerana boleh melanggar pantang larang ‘orang tua-tua’ dahulu.
Jelas menggambarkan bahawa suasana sambutan Hari Raya pada zaman dahulu diraikan dengan begitu meriah.
Penulis teringat pada waktu itu iaitu pada Hari Raya Pertama, ibu bapa akan membawa anak-anak mereka menonton wayang terlebih dahulu kemudian bergambar ramai di kedai-kedai studio di mana ketika itu ada tiga buah kedai studio iaitu Kedai Guan Chuan Photo Studio, Capital Photo Studio dan Universal Photo Studio.

Ketiga-tiga studio ini terletak di kawasan Bandar Seri Begawan malah berdekatan dengan beberapa buah pawagam seperti Pawagam Bolkiah dan Boon Pang Lama yang memainkan beberapa buah filem terkenal sekitar tahun 50an iaitu Selendang Delima 1958 dan Bujang Lapok 1956.
Suasana pada waktu malam
Manakala pada waktu malam pula, rumah-rumah bersinar dengan kilauan cahaya lampu-lampu berwarna-warni ditambah dengan kemeriahan kanak-kanak yang berlari-lari, bermain mercun dan ada juga kanak-kanak yang memasang lampu di tanglung di luar rumah.
Penulis masih lagi ingat ketika itu di mana ada juga remaja-remaja yang berlawan untuk memasang bedil buluh. Sehingga kini, penulis tidak akan pernah melupakan suasana sambutan Hari Raya Aidilfitri sekitar tahun 1950an.
Pelbagai hidangan makanan tradisional disediakan seperti kelupis, wajid, bahulu, sapit, agar-agar dan minuman seperti kopi, teh dan manisan.
Selain itu, lilin juga diletakkan berdekatan dengan pintu bagi menyinari lagi laluan masuk dan keluar rumah. Begitulah nostalgia suasana Aidilfitri pada satu ketika dahulu yang tidak mudah dilupakan.