NABLUS, 12 MAC – “Tiada sebarang hiasan apa lagi lagu-lagu riang. Aktiviti jual beli pun tiada langsung.
“Suasana dan perasaan menyambut bulan suci Ramadan di pasar bandar Nablus (utara Tebing Barat) kali ini sangat suram,” luah seorang war-ganya, Abdul Latif Al-Kharaz.
Bercerita kepada Agensi Berita dan Maklumat Palestin (WAFA), Al-Kharaz berkata Ramadan tahun ini berbeza sama sekali dengan tahun-tahun sebelumnya.
Beliau yang juga seorang penjaja di bandar lama Nablus selama bertahun-tahun berkata bulan Ramadan di bandar ini biasanya disambut dengan meriah dan istimewa kecuali tahun ini disebabkan pencerobohan Israel tanpa henti ke atas Gaza sejak 7 Oktober lepas.
“Kebiasaannya sehari sebelum menjelang Ramadan, pasar-pasar di bandar ini akan sesak dengan pengunjung dan mereka mengambil masa yang lama untuk membeli barangan kerana pergerakan yang terbatas akibat terlampau sesak,” katanya.

Warga tempatan, Ummu Mustafa Abu Hatab yang merupakan pelanggan tetap di pasar tersebut, turut mengakui hakikat itu.
“Tahun ini menjadi tahun yang sangat suram terutama penduduk Gaza yang terpaksa berhempas-pulas bagi mendapatkan sekeping roti untuk dimakan malah mungkin mereka terpaksa berpuasa sepanjang hari kerana tiada makanan,” katanya.
Rakyat Palestin berusaha mencari tawaran harga terendah untuk membeli barang keperluan ketika konflik ini selain mengehadkan diri mereka untuk membeli barang yang diperlukan sahaja.
Seorang peniaga, Alaa Saad El Din menggambarkan keadaan yang dihadapi penduduk di sini ketika ini amat sukar dalam semua perkara dan keadaan.
“Biasanya kami melihat suasana yang sibuk di pasar Nablus sebulan sebelum tibanya Ramadan, tetapi pada tahun ini orang ramai hanya mula membeli barang keperluan mereka sejak dua hari lepas dan suasana amat berlainan berbanding tahun-tahun sebelumnya.” – Bernama

