Wednesday, April 24, 2024
29.7 C
Brunei

    -

    Subsidi ayam, minyak masak mansuh 1 Julai

    PUTRAJAYA, 21 JUN – Kawalan harga siling ayam dan telur ayam, serta subsidi minyak masak sawit tulen dalam kemasan botol dua, tiga dan lima kilogram (kg) tidak diteruskan mulai 1 Julai ini, umum Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Seri Alexander Nanta Linggi hari ini.

    Dalam sidang media selepas mempengerusikan sesi libat urus dengan pemegang taruh industri ayam di sini hari ini, Nanta berkata langkah itu dilaksanakan untuk memastikan bekalan bahan makanan dalam pasaran lebih stabil dan dalam jangka masa panjang pula dapat menstabilkan harga.

    “Harga ayam akan diapungkan dan akan tertakluk kepada kuasa pasaran. Golongan memerlukan akan dibantu nanti dengan bantuan wang tunai bersasar,” katanya maklumat lanjut mengenai bantuan wang bersasar itu akan dibuat Kementerian Kewangan.

    Pada masa ini, kerajaan menetapkan harga maksimum runcit ayam dan telur bagi Semenanjung Malaysia bagi ayam bulat standard adalah pada RM8.90 sekilogram dan ayam bulat super (disembelih dan dibersihkan tanpa kaki, kepala, hati dan hempedal) pada RM9.90 sekilogram.

    Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata berkuat kuasa 1 Julai, Putrajaya tidak lagi akan memberikan subsidi kepada penternak ayam. Susulan penamatan subsidi itu, pihak penternak dilaporkan berharap kerajaan mengapungkan harga ayam.

    Nanta dalam sidang media itu memaklumkan, subsidi minyak masak dalam bungkusan polibeg satu kilogram dan ditawarkan kepada pengguna pada harga RM2.50 sepeket, masih diteruskan.

    Mengenai pemansuhan subsidi minyak masak sawit tulen itu dalam kemasan botol itu, beliau berkata subsidi barangan tersebut mencecah RM20 juta sebulan.

    “Oleh itu, kerajaan rasakan sudah tiba masanya ia dimansuhkan supaya kerajaan boleh lebih fokus untuk bantu golongan memerlukan,” katanya. – Bernama

    Datuk Seri Alexander Nanta Linggi (dua, kanan) berbincang bersama Penasihat Persekutuan Persatuan Penternak Malaysia (FLFAM), Datuk Jeffrey Ng (kiri) selepas sidang media mengenai isu harga dan bekalan ayam dan minyak sawit di kementerian itu, kelmarin. – Bernama
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Korea Utara hantar delegasi ke Iran

    PYONGYANG, 24 APRIL - Delegasi ekonomi Korea Utara peringkat tinggi sedang dalam perjalanan ke Iran, kata media negara Korea Utara pada hari ini, untuk...