TOKYO, 22 MEI – Kerajaan Jepun memulakan program subsidi petrol baharu hari ini, bagi mengurangkan harga bahan api dan menangani kenaikan kos sara hidup isi rumah, lapor Xinhua memetik media tempatan.
Skim yang ditambah baik itu bertujuan mengurangkan harga petrol sebanyak 10 yen (kira-kira AS$0.07) seliter menjelang pertengahan Jun, menurut laporan Kyodo News.
Di bawah dasar subsidi bahan api sebelumnya yang diperkenalkan pada Januari 2022, kerajaan memberi subsidi kepada pemborong minyak bagi mengekalkan harga petrol biasa kira-kira 185 yen seliter.
Kerajaan merancang untuk melaraskan jumlah subsidi kepada maksimum 5 yen seliter untuk minggu pertama dengan matlamat mengurangkan harga borong petrol sebanyak 7.40 yen seliter.
Selepas itu, kerajaan menyasarkan pengurangan sekurang-kurangnya 1 yen setiap minggu sehingga harga turun 10 yen menjelang pertengahan Jun, menurut laporan itu. – Bernama
