KUCHING, 28 JAN – Pengangkutan udara terus menjadi nadi utama bagi komuniti pedalaman di Malaysia Timur, memandangkan keadaan muka bumi yang mencabar serta keterbatasan infrastruktur jalan raya, menjadikan perjalanan udara pilihan paling praktikal untuk berhubung.
Selama beberapa dekad, Perkhidmatan Udara Luar Bandar (RAS) telah menjadi penghubung bagi kawasan terpencil ini yang sukar diakses, dengan menyediakan perkhidmatan penerbangan yang tidak berorientasikan keuntungan ke kawasan pedalaman seperti Lahad Datu di Sabah dan Ulu Baram di Sarawak.
Melalui perkhidmatan tersebut, penduduk di kawasan berkenaan dapat mengakses keperluan asas serta berhubung dengan bandar-bandar utama dalam tempoh masa beberapa jam sahaja, berbanding perjalanan yang mungkin memakan masa berhari-hari melalui jalan darat.
Walaupun pada asalnya dijadualkan berakhir pada Disember 2024, keputusan kerajaan Persekutuan untuk melanjutkan subsidi RAS sehingga hujung tahun ini mencerminkan komitmen teguh mereka dalam mengekalkan hubungan untuk komuniti luar bandar.
Bagi memastikan perkhidmatan ini diteruskan, kerajaan Persekutuan telah memperuntukkan RM209 juta setahun untuk menampung kos operasi dan penyewaan pesawat. MASwings kini mengendalikan 40 laluan di Sarawak dan Sabah dengan menggunakan pesawat ATR72 dan Twin Otter Viking.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telang Usan Datuk Dennis Ngau, menyambut baik subsidi itu dan menyifatkan RAS sebagai satu ‘perkhidmatan komuniti’ yang sangat penting bagi penduduk Ulu Baram. – Bernama