KUALA LUMPUR, 14 JULAI – Pemberian inisiatif bantuan subsidi pembelian tiket penerbangan untuk pelajar universiti awam bukan sahaja meringankan beban kewangan keluarga, malah memudahkan pelajar pulang ke kampung halaman masing-masing.
Presiden Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Putra Malaysia (UPM) Fatin Amirah Mohd Hisham berkata bantuan bernilai RM300 itu sedikit sebanyak melegakan pelajar dari Sabah, Sarawak dan Semenanjung untuk pulang ke kampung ketika cuti semester.
Katanya ramai pelajar dari Sabah dan Sarawak di UPM mempunyai kesulitan untuk membeli tiket penerbangan kerana harganya yang tinggi, sehingga ada yang tidak pulang pada musim perayaan atau cuti semester.
“Rungutan diterima daripada kawan-kawan saya sendiri dan banyak juga yang disampaikan kepada Majlis Perwakilan Pelajar. Mereka (pelajar) perlu bekerja dan kumpul wang pada setiap semester hanya untuk beli tiket. Kalau tidak cukup, maka tidak balik lah mereka,” katanya kepada Bernama.
Oleh itu, beliau berkata pemberian subsidi itu walaupun hanya bernilai RM300 secara one-off, amat diperlukan oleh pelajar khususnya mereka yang berasal daripada keluarga B40 selain tepat pada masanya memandangkan cuti semester akan bermula tidak lama lagi.- Bernama


