Tidak mahu irama tradisional dilupakan, Biduanita Malaysia, Datuk Seri Siti Nurhaliza menyarankan penyanyi popular generasi muda menyelitkan sekurang-kurangnya sebuah lagu irama berkenaan dalam album mereka.
Siti percaya penyanyi pelapis seperti Ernie Zakri, Aina Abdul dan Nadeera, masing-masing memiliki vokal bagus untuk merakam bingkisan genre tradisional.
“Tidak kisahlah jika album mereka berkonsepkan pop atau kontemporari sekalipun, tidak salah jika diselitkan sebuah lagu tradisional,” katanya ditemui pada majlis penyerahan sumbangan bersama Yayasan Nurjiwa anjuran syarikat Inayah Beauty, baru-baru ini.
Dalam perkembangan terbaharu, Siti gigih mencari material untuk dimuatkan ke dalam album tradisional yang perlu disiapkan, Oktober.
Siti berkata, selain komposer sedia ada, beliau meminta bantuan Badan Perlindungan Hakcipta Karyawan Malaysia (MACP) bagi menghebahkan kepada ahli yang berminat menghantar lagu untuk dipilih.

“Alhamdulillah, saya gembira kerana maklum balas sangat memberangsangkan. Setakat ini, kami sudah terima lebih 50 lagu. Suka tetapi pening hendak buat pilihan.
“Kami perlu buat tapisan dengan teliti, tidak boleh pilih kasih dengan mahukan komposer yang kami kenal sahaja.
“Setakat ini, kami masih mengalu-alukan lagi kepada mana-mana individu yang berminat menghantar lagu. Tetapi, kenalah lagu yang sudah siap, bukan sekadar humming,” katanya.
Siti percaya negara mempunyai ramai komposer berbakat, namun, tiada peluang untuk diketengahkan karya ciptaan mereka.
“Kebetulan saya buat album tradisional penuh. Jadi, ini adalah peluang untuk mereka ketengahkan bakat.
“Cuma janganlah bandingkan mereka dengan Allahyarham Pak Ngah (Suhaimi Mohd Zain) kerana beliau ada legasi yang tersendiri.
“Bagi saya, lagu yang dihantar semuanya ada jati diri pencipta tersendiri, cuma kita kena cungkil dan beri peluang,” katanya. – Agensi