Saturday, March 15, 2025
26.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Suburkan rasa kasih kepada Rasulullah SAW

    Oleh Yusrin Junaidi
    Gambar oleh Infofoto

    BANDAR SERI BEGAWAN, 29 OKT – Negara Brunei Darussalam bersama negara-negara Islam di seluruh dunia hari ini menyambut hari kelahiran junjungan besar Nabi Muhammad Shallallahu ‘Alaihi Wasallam (SAW) dalam suasana normal baharu tanpa acara perarakan dan perbarisan seluruh negara yang disertai laungan selawat seperti saban tahun.

    Pada tahun ini, Sambutan Maulidur Rasul telah diraikan dengan majlis perhimpunan yang diadakan di masjid-masjid keempat-empat daerah yang membawa tema ‘Membangun dengan Akhlak Nabi Muhammad SAW’.

    Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam telah berkenan berangkat ke majlis perhimpunan bagi Daerah Brunei dan Muara yang berlangsung di Masjid Omar ‘Ali Saifuddien.

    Keberangkatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia dijunjung oleh Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman selaku pengerusi Jawatankuasa Tertinggi Sambutan Hari-hari Kebesaran Islam Tahun 1442 Hijrah serta ahli-ahli jawatankuasa tertinggi yang lain.

    Berangkat sama ke majlis tersebut ialah Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri; Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik dan Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen.

    KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik dan DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen berkenan berangkat ke Majlis Perhimpunan Sambutan Maulud Nabi Muhammad SAW Peringkat Negara bagi Tahun 1442 Hijrah.
    KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik dan DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen berkenan berangkat ke Majlis Perhimpunan Sambutan Maulud Nabi Muhammad SAW Peringkat Negara bagi Tahun 1442 Hijrah.
    ATAS & BAWAH: Antara menteri kabinet yang hadir pada Majlis Perhimpunan Sambutan Maulud Nabi Muhammad SAW Peringkat Negara bagi Tahun 1442 Hijrah yang berlangsung di Masjid Omar Ali Saifuddien.

    Bacaan selawat daripada warga Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah.
    Sebanyak 21 das tembakan dilepaskan.
    Persembahan Dikir Marhaban yang dibawakan oleh pegawai dan kakitangan Kementerian Pembangunan.

    Majlis Perhimpunan Sambutan Maulud Nabi Muhammad SAW Peringkat Negara bagi Tahun 1442 Hijrah itu dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah beramai-ramai dipimpin oleh Mufti Kerajaan, Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia (Dr) Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned.

    Ini diikuti dengan sembah alu-aluan oleh Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin yang menyatakan rasa syukur atas nikmat Allah SWT yang membolehkan negara mengadakan majlis perhimpunan menyambut dan meraikan Hari Maulidin Nabi Muhammad SAW, pada 12 Rabiulawal dalam suasana yang masih lagi dalam keadaan berwaspada mengawal jangkitan COVID-19 yang sedang melanda dunia.

    “Walaupun kita tidak menyambut dan meraikannya dengan perhimpunan dan perarakan ramai seperti lazimnya setiap tahun, sebaliknya kita bermajlis perhimpunan di masjid-masjid dengan acara yang ringkas sesuai dengan aturan-aturan kawalan jangkitan COVID-19.

    “Namun ia tetap sahaja menepati hajat memuliakan dan meraikan Maulidin Nabi yang menandakan curahan rasa kasih sayang terhadap Rasulullah SAW dan sebagai tanda syukur kepada Allah SWT kerana mengangkat Baginda itu menjadi seorang nabi dan rasul untuk menyampaikan ajaran-ajaranNya melalui agama Islam yang diredhaiNya.

    “Maka sambutan Maulidin Nabi Muhammad SAW setiap tahun itu, dalam apa pun corak dan format sambutan dan acaranya yang pasti ia adalah suatu proses yang berterusan dalam kita menimba ajaran-ajaran agama Allah,” tekannya.

    Menurut Yang Berhormat Pehin, menerusi sambutan-sambutan tersebut secara tidak langsung, kita telah didedahkan kepada akhlak mulia dan kepimpinan bijaksana Baginda mendakwahkan ajaran-ajaran Allah itu bersama pengikut-pengikut seangkatan Baginda yang jujur lagi setia.

    “Dan yang penting sekali sambutan Maulidin Nabi adalah juga merupakan
    sebahagian daripada ciri-ciri keislaman negara kita. Ia juga dihasratkan untuk merangsang kesedaran dan mengukuhkan lagi amalan beragama sambil menyuburkan kasih sayang sejati kita kepada junjungan kita Nabi Muhammad SAW.

    “Bagindalah penyudah kenabian dan kerasulan yang diutus oleh Allah SWT dengan sosok dan watak kemanusiaannya, membawakan misi kenabian dan kerasulan sebagai rahmat kepada sekalian alam dengan corak dan sikap kepimpinan Baginda,” ujar Yang Berhormat Pehin.

    Majlis diteruskan dengan persembahan Dikir Marhaban yang dibawakan oleh pegawai dan kakitangan Kementerian Pembangunan dan tembakan meriam sebanyak 21 das.

    Ia kemudian diteruskan dengan syarahan khas bertajuk ‘Membangun dengan Akhlak Nabi Muhammad SAW’ yang disampaikan oleh Pemangku Penolong Mufti (Ifta’), Jabatan Mufti Kerajaan, Haji Dennie bin Haji Abdullah.

    Majlis kemudian diakhiri dengan Doa Selamat dibacakan oleh Yang Berhormat Mufti Kerajaan bagi memohon berkat dan rahmat atas majlis yang berkebajikan itu.

     

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda