Friday, September 20, 2024
23.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Succession dominasi Anugerah Emmy ke-75

    Siri televisyen drama komedi hitam HBO, Succession mendominasi pencalonan untuk Anugerah Emmy ke-75 yang dianggap sebagai penghormatan tertinggi televisyen Amerika Syarikat (AS) dengan 27 pencalonan, umum Akademi Televisyen Rabu lalu, lapor Xinhua.

    Pemenang Siri Drama Terbaik dua kali itu akan dicabar siri televisyen Andor, Better Call Saul, The Crown, House of the Dragon, The Last of Us, The White Lotus dan Yellowjackets untuk trofi utama tahun ini.

    Drama itu juga menerima beberapa pencalonan dalam kategori lakonan termasuk pencalonan untuk Pelakon Lelaki Terbaik yang menyenaraikan tiga pelakonnya, Brian Cox, Kieran Culkin dan Jeremy Strong.

    Sarah Snook pula dicalonkan untuk kategori Pelakon WanitaTerbaik.

    Kategori Siri Komedi Terbaik menyaksikan ia direbut siri komedi Abbott Elementary, Barry, The Bear, Jury Duty, The Marvelous Mrs Maisel, Only Murders in the Building, Ted Lasso dan Wednesday.

    Drama The Last of Us mendapat pencalonan kedua tertinggi dengan 24 pencalonan, diikuti oleh The White Lotus dengan 23 pencalonan dan Ted Lasso dengan 21 pencalonan.

    “Pencalonan mengiktiraf kepentingan penghibur, penerbit, penulis, pengarah, kru dan semua mereka yang terlibat dalam program televisyen tahun lalu,” menurut Akademi Televisyen dalam kenyataan media.

    Terdapat lebih 20,000 ahli mengundi Akademi dan pencalonan tahun ini menandakan penyertaan pengundi tertinggi dalam sejarah Emmy, menurut Akademi Televisyen.

    Majlis Anugerah Emmy ke-75 dijadualkan diadakan di Peacock Theater di Los Angeles pada 18 September. – Bernama

    Pelakon Jeremy Strong tiba untuk Anugerah Emmy ke-74 di Teater Microsoft di Los Angeles, California, pada 12 September 2022. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda