Sunday, April 20, 2025
31.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Sucikan hati dengan beristighfar

    Oleh Nurdiyanah R.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 26 FEB – Agama Islam mengajarkan umatnya beberapa langkah bagi menjernihkan dan membersihkan hati dan jiwa daripada sebarang dosa dan maksiat iaitu dengan memperbanyakkan zikir, taubat dan istighfar.

    “Hakikat istighfar dalam agama Islam itu adalah untuk menundukkan jiwa, hati dan fikiran kepada Allah SWT sambil memohon keampunan kepadaNya dari segala dosa,” tegas khatib semasa menyampaikan khutbah yang bertajuk Fadilat Istighfar, hari ini.

    Tambahnya, perintah bertaubat dan beristighfar itu bukan hanya bagi orang yang berbuat maksiat dan dosa semata-mata, tetapi semua umat Islam dituntut untuk sentiasa melakukannya serta tidak sekali-kali berputus asa dengan rahmat Allah SWT.

    “Terdapat banyak fadilat atau pun kelebihan yang dikurniakan Allah SWT bagi mereka yang mengamalkan istighfar. Antara kelebihan istighfar itu ialah memperolehi keampunan daripada Allah SWT, menyenangkan hati dari kegelisahan dan gundah gulana serta mendekatkan diri kepada Allah SWT,” jelas khatib lagi.

    Begitu juga dengan beristighfar, tambah khatib, seseorang juga akan memperoleh perlindungan Allah SWT daripada tipu daya dan hasutan syaitan dan juga akan diberikan keutamaan dan anugerah daripadaNya berupa nikmat bagi sesiapa yang mengamalkannya seperti diberi kelapangan, kesenangan, kesihatan serta rezeki yang melimpah.

    “Perlu diketahui bahawa istighfar itu sangat penting dalam kehidupan kerana terdapat banyak kelebihan yang dikurniakan Allah SWT kepada sesiapa yang membaca dan mengamalkan istighfar di dalam kehidupan seharian. Oleh itu, tidak sewajarnya istighfar itu diabaikan apatah lagi dilupakan, lebih-lebih lagi amalan istighfar ini sangat dituntut oleh Rasulullah SAW sebagai amalan harian.

    Betapa pula kita yang hanya insan biasa, walaupun Rasulullah SAW seorang yang maksum atau bebas daripada dosa, namun Baginda tetap beristighfar setiap hari sebanyak 100 kali agar dipelihara daripada melakukan perkara-perkara yang menyebabkan dosa,” jelas khatib.

    Oleh yang demikian, umat Islam diseru agar sentiasa berdoa memohon perlindungan daripada Allah SWT, mudah-mudahan segala taubat dan istighfar diterima olehNya, jelas khatib semasa mengakhiri khutbah Jumaat hari ini.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda