Sudah dirampas atau belum?

KUALA LUMPUR, 11 Okt – Mahkamah Tinggi di sini hari ini mengarahkan kerajaan memfailkan afidavit untuk mengesahkan sama ada 44 unit barang kemas bernilai US$14.79 juta atau hampir RM60 juta, yang dikatakan dihantar kepada Datin Seri Rosmah Mansor oleh syarikat menjual barang kemas di Lubnan, telah dirampas oleh polis.

Pesuruhjaya Kehakiman Wong Chee Lin mengeluarkan perintah itu selepas Peguam Kanan Persekutuan Izham Marzuki, yang mewakili kerajaan, memberitahu mahkamah bahawa mereka tidak dapat mengesahkan sama ada 44 unit barang kemas itu adalah sebahagian daripada 12,000 unit yang dirampas oleh polis dalam serbuan di premis-premis yang dikaitkan dengan bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Saya mahu kerajaan untuk kembali dalam tempoh dua minggu bersama afidavit untuk mengesahkan sama ada 44 keping barang kemas telah dirampas oleh polis dan meminta defendan (Rosmah) untuk membantu mengenal pasti barang kemas itu,” kata Wong.

Beliau berkata Rosmah adalah orang yang terbaik sekali untuk membuktikannya.

“Kami berharap beliau dapat membantu kerana beliau adalah orang yang terbaik untuk mengenal pasti barang kemas tersebut,” katanya dan beliau kemudian menetapkan dua hari bermula 4 Mac, tahun depan untuk perbicaraan.

Wong kemudian menolak permohonan oleh Rosmah, yang dinamakan sebagai defendan dalam kes asaman difailkan oleh syarikat dari Lubnan, Global Royalty Trading SAL, untuk membatalkan saman tersebut tanpa mendengar hujah daripada semua pihak berkaitan.

Bagaimanapun, beliau berkata, Rosmah boleh memfailkan permohonan baharu selepas dibuktikan bahawa barang kemas itu telah dirampas. – Bernama