“Watie tidaklah degil sangat. Mana ada dia degil.” Itu reaksi pelawak dan usahawan, Shuib, 39, atas laporan memetik isterinya, Watie Hanifiah, 36, degil hingga melabur sebanyak RM100,000 dalam skim pelaburan, biarpun selepas dirinya memberi nasihat.
Akibat pelaburan itu, kecoh Watie dilaporkan hilang RM100,000 akibat penipuan atau scam dalam skim pelaburan terbabit.
Shuib atau nama sebenar, Shahmira Muhammad menjelaskan, Watie ada bertanya pendapatnya sebelum membuat pelaburan, namun, isteri mendapat nasib tidak baik.
“Dia dengar cakap, cuma, mungkin pada kejadian yang dia kena ‘scam’, baru-baru ini, dia yakin dengan perkiraan dibuat hingga mendorong dirinya turut serta.
“Dia juga meyakinkan saya hingga minta restu dua hingga tiga kali. Saya cakap okay, pergilah.
“Saya ingatkan, apa-apa pun, kena bertanggungjawab dan kalau boleh, jangan ajak orang lain atau babitkan pihak lain. Watie ingat dan dengar apa yang saya beritahu.
“Apabila berlakunya kejadian itu (ditipu), dia cepat-cepat minta maaf dan ambil semua itu sebagai pengajaran,” katanya kepada BH Online. Shuib berkata, insiden itu memberi kan pengajaran kepada Watie dan pihak lain.
Sebelum ini, Watie mendedahkan kehilangan RM100,000 akibat penipuan atau scam dari skim pelaburan.
Watie atau nama sebenar, Fati Nikmatul Adawiyah Hanifiah mendakwa dia menyedari ditipu, bulan lalu, ketika mahu terbang ke China atas urusan perniagaan. Pada masa sama, akaun Instagram (IG) miliknya turut digantung. – Agensi
