Tuesday, March 18, 2025
30.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Sudah tiba masa Shah Firdaus jadi sandaran utama Malaysia

    KUALA LUMPUR, 17 MAC – Kementerian Belia dan Sukan percaya sudah tiba masanya jaguh berbasikal trek Malaysia, Muhammad Shah Firdaus Sahrom, menjadi sandaran utama Malaysia untuk menyinar pada kejohanan antarabangsa akan datang.

    Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh optimis Muhammad Shah atau lebih dikenali Shah Firdaus mampu menggalas tanggungjawab itu, sekali gus menggantikan posisi Datuk Mohd Azizulhasni Awang.

    “Sudah tiba masa untuk Shah Firdaus. Semasa di Paris 2024, kita nampak bila Shah Firdaus diperlukan (acara keirin) untuk menerima mandat itu daripada Malaysia, dia mampu dan boleh melakukannya (layak ke final).

    “Saya cukup gembira untuk melihat Shah Firdaus ketika ini berada pada prestasi terbaiknya. Saya yakin Shah Firdaus akan menjadi harapan Malaysia bagi acara berbasikal trek,” katanya selepas merasmikan Forum ADR Sukan ASEAN 2025 di Pusat Timbang Tara Antarabangsa Asia (AIAC) hari ini.

    Turut hadir pada majlis berkenaan ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said, Pesuruhjaya Sukan (PJS) Suhardi Alias dan Ketua Pegawai Eksekutif AIAC Datuk Almalena Sharmila Johan.

    Hannah berkata beliau turut berbangga dengan pencapaian Shah Firdaus yang merangkul pingat emas dalam acara keirin pada Piala Negara-Negara Kesatuan Barbasikal Antarabangsa (UCI) di Konya, Turkiye semalam, selain berpuas hati dengan prestasi ditampilkan pelumba trek wanita negara Nurul Izzah Izzati Mohd Asri.

    Pada perlumbaan semalam, Shah Firdaus mempamerkan kayuhan bertenaga untuk meloloskan diri daripada kepungan empat pelumba lain, sebelum memintas pencabarnya beberapa meter menuju ke garisan penamat di Velodrom Konya.

    Ia adalah emas pertama dimenangi pelumba yang diberi julukan ‘The Terminator’ itu pada kejohanan UCI, sekali gus menandakan pencapaian terbesar baginya. – Bernama

    Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, menyampaikan ucapan beliau pada Pelancaran Perlahan Forum Sukan Asean bertemakan ‘Memastikan Permainan Adil: Memajukan Penyelesaian Pertikaian Sukan di Asia’ di Pusat Arbitrasi Antarabangsa Asia, hari ini. – Bernama
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda