Sabtu, 22 November 2025
29.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Sudan kebumikan ratusan mangsa tanah runtuh di Darfur

    KAHERAH, 5 SEPT – Pihak berkuasa Sudan kelmarin berkata, mereka telah menemui dan mengebumikan ratusan mayat mangsa yang terkorban dalam kejadian tanah runtuh hujung minggu lalu di wilayah barat Darfur, Sudan.

    Ketua Pihak Berkuasa Awam di Wilayah Pembebasan, Mujib al-Rahman al-Zubair berkata dalam sebuah ucapan video yang telah dikongsi kepada The Associated Press, pihak berkuasa dengan bantuan pekerja bantuan tempatan telah berjaya mengeluarkan seramai 375 mayat, namun masih banyak lagi mangsa yang terperangkap di bawah tanah.

    Tanah runtuh yang berlaku di Pergunungan Marrah selepas hujan lebat berhari-hari dipercayai telah meragut sehingga 1,000 nyawa, menurut jurucakap Gerakan Tentera Pembebasan Sudan, Mohamed Abdel-Rahman al-Nair.

    Pejabat Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan PBB (OCHA) juga menganggarkan angka korban yang sama, tetapi adalah sukar mengesahkan skala sebenar tragedi itu kerana kawasan tersebut sukar diakses.

    Di samping itu, PBB turut menyatakan usaha bantuan telah digerakkan ke kawasan terjejas yang terletak lebih 900 kilometer di bandar Khartoum.

    OCHA bersama rakan kongsi melancarkan misi penilaian dan tindak balas pantas pada Khamis, dengan pasukan dari NGO tempatan, agensi PBB dan kumpulan antarabangsa sampai ke lokasi sebahagiannya dengan menunggang keldai kerana keadaan muka bumi yang mencabar, menurut jurucakap PBB, Stephane Dujarric.

    Fokus utama mereka adalah bagi mengesahkan jumlah mangsa terjejas dan menyalurkan bantuan penting kepada sehingga 750 orang termasuk kit perubatan dan makanan. Klinik kesihatan bergerak serta pasukan perubatan kecemasan turut dikerahkan ke kawasan tersebut. – AP

    Orang ramai berkumpul di lokasi tanah runtuh di Pergunungan Marrah, Darfur Tengah, Sudan pada 31 Ogos. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda