Jumaat, 21 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Sudan Selatan tegaskan komitmen perjanjian damai 2018 semasa UNGA

    WASHINGTON, 12 NOV – Wakil Tetap Sudan Selatan ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) kelmarin tegaskan komitmen untuk melaksanakan sepenuhnya Perjanjian Damai Diperbaharui 2018, menyifatkannya sebagai satu-satunya jalan ke arah kestabilan dan keamanan berkekalan bagi negara itu, lapor Anadolu Ajansi (AA).

    Berucap di hadapan Majlis Keselamatan PBB (UNGA), Cecilia Adut Manyok berkata kerajaan negaranya kekal ‘teguh’ dalam komitmen terhadap proses damai meskipun berdepan pelbagai cabaran.

    “Perjanjian Damai Diperbaharui kekal sebagai satu-satunya jalan keluar daripada tempoh peralihan dan satu-satunya cara ke arah kestabilan di Sudan Selatan,” katanya merujuk kepada perjanjian yang ditandatangani oleh Presiden Salva Kiir, seteru politiknya Riek Machar serta parti-parti politik lain.

    Beliau mengulangi bahawa kerajaan terus mempertahankan gencatan senjata kekal dan tidak akan bertolak ansur terhadap sebarang serangan ke atas pekerja kemanusiaan atau anggota PBB.

    Manyok turut menggesa semua pihak yang menandatangani perjanjian damai supaya menahan diri dan “mengelak daripada tindakan mengapi-apikan,” sambil menekankan kepentingan untuk terus berunding secara konstruktif melalui mekanisme damai yang sedia ada.

    Mengecam keganasan baru-baru ini yang menyasarkan pekerja bantuan, beliau menegaskan bahawa pihak yang bertanggungjawab akan dibawa ke muka pengadilan di bawah undang-undang Sudan Selatan.

    Menegaskan semula perkongsian Sudan Selatan dengan Misi PBB di Sudan Selatan (UNMISS), Manyok menyatakan penghargaan terhadap kehadiran dan sokongan berterusan misi itu.

    “Kami bertekad untuk tidak kembali kepada konflik, sebaliknya melangkah ke hadapan menuju keamanan, perpaduan dan pembangunan berkekalan. Oleh itu, kami menyeru rakan kongsi serantau dan antarabangsa kami untuk meneruskan sokongan mereka,” katanya.

    Menurut laporan PBB, di seluruh Sudan Selatan, seramai 7.5 juta penduduk berdepan kekurangan makanan yang serius, manakala banjir, perpindahan dan keganasan terus memburukkan lagi keperluan kemanusiaan. Dengan pilihan raya dijadualkan pada Disember 2026, persaingan politik di Sudan Selatan berisiko mencetuskan keganasan dan bukannya mengukuhkan keamanan. – Bernama/Anadolu

    Suasana semasa UNGA. – Gambar Anadolu Ajansi
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda