Friday, September 20, 2024
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Sudut bacaan dilancar di PKWE

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 30 MEI – Sudut Bacaan Pusat Kegiatan Warga Emas (PKWE) akan dimanfaatkan sebaiknya oleh warga emas bukan sahaja untuk menguatkan daya ingatan tetapi juga untuk melatih otak dengan melakukan aktiviti membaca.

    Perkara itu dinyatakan oleh Pengurus PKWE, Haji Mohd Yussof bin Mohd Salleh dalam kata alu-aluannya pada Majlis Perasmian Sudut Bacaan PKWE yang berlangsung di PKWE Daerah Brunei dan Muara, Jalan 77 Rancangan Perumahan Negara Lambak Kanan, hari ini.

    Hadir menyempurnakan perasmian sudut bacaan berkenaan ialah Setiausaha Tetap (Kebudayaan) di Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS), Pengiran Haji Mohd Hasnan bin Pengiran Haji Ali Hassan.

    Turut hadir ialah Timbalan Setiausaha Tetap (Kebudayaan) di KKBS, Dr Siti Norkhalbi binti Haji Wahsalfelah, pegawai-pegawai kanan dan pegawai daripada KKBS serta Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).

    Sudut Bacaan PKWE menyediakan bahan bacaan yang berkaitan dengan keagamaan, masakan, jahitan dan sulaman serta buku novel. Purata kira-kira 120 buah buku dalam bahasa Melayu disediakan dan buku-buku berkenaan akan ditukar setiap dua bulan sekali mengikut keperluan dan permintaan pihak PKWE.

    Pengiran Haji Mohd Hasnan menyempurnakan perasmian Sudut Bacaan PKWE Daerah Brunei dan Muara, kelmarin.
    Pengiran Haji Mohd Hasnan menyempurnakan perasmian Sudut Bacaan Pusat Kegiatan Warga Emas, Daerah Brunei Muara, hari ini.
    Pengiran Haji Mohd Hasnan, Dr Siti Norkhalbi serta para ahli-ahli PKWE bersama-sama membaca buku sebelum perasmian sudut bacaan berkenaan.

    Dengan adanya perkhidmatan itu, para penggunanya akan lebih kreatif dalam menjana gagasan baharu serta mampu membangunkan tamadun negara dari segi keilmuan, sosial dan ekonomi.

    Terdahulu dalam majlis yang berasingan, Dr Siti Norkhalbi telah menyempurnakan perasmian Sudut Bacaan Learners’ Bar Enterprise di Kampung Kiulap.

    Sudut bacaan di Learners’ Bar itu menyediakan bahan bacaan yang berkaitan dengan
    bidang bersesuaian serta diperlukan seperti buku-buku berbentuk pendidikan, kertas soalan peperiksaan lepas daripada peringkat PSR, SPE, O Level, SPUB, A Level dan
    STPUB.

    Ia bertujuan bagi memudahkan pelanggan-pelanggan Learners’ Bar membuat ulang kaji pelajaran mereka di kafe berkenaan.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda