Oleh Ak Zaki Kasharan
BANDAR SERI BEGAWAN, 30 OGOS – Sebagai sebahagian daripada hubungan yang berpanjangan antara Suruhanjaya Tinggi Republik Rakyat Bangladesh dengan Universiti Teknologi Brunei (UTB), Sudut Bangabandhu-Bangladesh telah dilancarkan di Perpustakaan UTB diikuti dengan sumbangan buku pada majlis secara maya yang dihoskan UTB, hari ini.
Hadir secara maya sebagai tetamu kehormat ialah Menteri Hal Ehwal Luar Negara Republik Rakyat Bangladesh, Tuan Yang Terutama Md Shahriar Alam.
Semasa upacara maya itu, Pesuruhjaya Tinggi Bangladesh ke Negara Brunei Darussalam, PYT Nahida Rahman Shumona menyumbangkan koleksi buku kepada Naib Canselor UTB,
Profesor Dr Hajah Zohrah binti Haji Sulaiman.
Turut hadir ialah dekan Kor Diplomatik, duta-duta besar luar negara ke Negara Brunei Darussalam, para pegawai utama UTB, dan kakitangan Suruhanjaya Tinggi Republik Rakyat Bangladesh di Brunei Darussalam dan UTB.
Acara dimulakan dengan ucapan alu-aluan daripada Profesor Dr Hajah Zohrah diikuti dengan ucapan daripada PYT Nahida Rahman Shumona dan TYT Md Shahriar Alam.

Kemudian, acara diteruskan dengan pelancaran Sudut Bangabandhu-Bangladesh yang menempatkan koleksi 23 buku yang bertujuan untuk mempromosikan pemahaman lebih mendalam mengenai budaya dan bangsa Bangladesh.
Buku-buku yang disumbangkan merangkumi pelbagai topik termasuk sejarah Bangladesh, haiwan, tulisan dan biografi Bangabandhu.
Bangabandhu diambil bersempena Bangabandhu Sheikh Mujibur Rahman yang dikenali sebagai Bapa Negara di Bangladesh dan pemimpin berwawasan dengan nilai dan ideanya terus memberi inspirasi kepada jutaan orang untuk mencapai kebebasan bagi bangsa Bangalee.
Sumbangan buku Suruhanjaya Tinggi tersebut diharapkan dapat menjadi tambahan khas bagi koleksi asing perpustakaan berkenaan yang semakin meningkat dan juga untuk memupuk minat membaca dalam kalangan warga UTB.