Wednesday, February 5, 2025
23.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Sudut buku UNISSA penuhi keperluan bahan rujukan

    Oleh Yusrin Junaidi

    BANDAR SERI BEGAWAN, 30 JULAI – Dalam usaha untuk menyebarluaskan hasil-hasil penyelidikan dan penerbitan buku-buku ilmiah di Negara Brunei Darussalam, Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) telah mengambil inisiatif menubuhkan Sudut Buku UNISSA di sekolah-sekolah menengah Arab terpilih di seluruh negara.

    Sehubungan itu, majlis pelancaran sudut berkenaan telah diadakan di Sekolah Ugama Arab Menengah Perempuan Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha (SUAMPRIPAHS), hari ini, dan disempurnakan oleh Rektor UNISSA, Dr Haji Norarfan bin Haji Zainal selaku tetamu kehormat majlis.

    Pada majlis itu, Dr Haji Norarfan turut menyerahkan sumbangan buku-buku kepada Pengetua SUAMPRIPAHS, Hajah Azizah binti Haji Mohamad dan Pemangku Pengetua Sekolah Menengah Arab Laki-Laki Hassanal Bolkiah (SMALHB), Hajah Mariana binti Haji Jamil.

    Buku yang disumbangkan merangkumi pelbagai tajuk dan disiplin ilmu termasuk pengajian Islam, undang-undang, ekonomi, budaya, tamadun, pembelajaran Bahasa Arab dan lain-lain jurusan yang diterbitkan dalam tiga bahasa iaitu Bahasa Arab, Melayu dan Inggeris.

    Melalui sudut buku berkenaan, UNISSA telah menyumbangkan sebanyak 197 judul buku. Rektor UNISSA dalam ucapannya menyampaikan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih atas kesudian kedua-dua buah sekolah berkenaan menerima sumbangan buku-buku tersebut untuk simpanan dan rujukan perpustakaan bagi memenuhi keperluan bahan rujukan ilmiah berkaitan pengajaran dan pembelajaran.

    Rektor UNISSA menyerahkan buku kepada wakil SU Arab Menengah Perempuan RIPAS.
    Dr Haji Norarfan melawat sudut buku yang dipamerkan di bilik rehat selepas perasmiannya.

    Dengan adanya Sudut Buku UNISSA ini, tambah beliau, diharap akan dapat memenuhi sebahagian daripada keperluan bahan rujukan ilmiah yang berkaitan di samping menambah kegiatan intelektual dalam kalangan pelajar dan tenaga pengajar di kedua-dua buah sekolah ini.

    “Seiring dengan perkembangan teknologi masa kini, peranan buku cetakan kini dilihat semakin terabai dan terpinggir. Kini, penerbitan buku digital lebih digemari dan menjadi keutamaan oleh penerbit-penerbit buku kerana ianya menawarkan keuntungan yang tidak sedikit kepada penulis dan juga kepada penerbit. Malah pengedar buku dewasa ini juga semakin berkurangan dari semasa ke semasa kerana sedikitnya penerbitan buku cetakan,” ujar beliau.

    Tanpa menafikan kepentingan buku digital terhadap perkembangan penyaluran ilmu semasa bagi memenuhi keperluan pembaca, penerbitan buku cetakan tidak sewajarnya dipinggirkan dan dilupakan ditelan zaman. Ini kerana, buku-buku terbitan ini mempunyai manfaat dan nilainya tersendiri.

    Justeru, tambahnya, UNISSA mengambil perhatian yang berat terhadap penerbitan buku ini sebagai usaha untuk meneruskan legasi pengembangan ilmu dan memelihara khazanahnya agar ia dapat dimanfaatkan bukan sahaja untuk generasi masa kini malah juga generasi akan datang.

    Beliau berkata, penubuhan Sudut Buku UNISSA merupakan inisiatif UNISSA melalui Pusat Penyelidikan dan Penerbitan UNISSA untuk mempromosi dan menjadikan buku-buku terbitan UNISSA sebagai bahan rujukan peringkat sekolah menengah dan tinggi, terutama buku dalam Bahasa Arab.

    Menurut beliau, sejak penubuhannya, UNISSA telah menerbitkan 220 judul buku ilmiah yang ditulis dalam tiga bahasa iaitu Bahasa Arab, Bahasa Inggeris dan Bahasa Melayu merangkumi pelbagai bidang disiplin termasuk pengajian Islam, syariah, undang-undang, pembelajaran Bahasa Arab, pengurusan dan pentadbiran negara, ekonomi, kewangan Islam, tamadun Islam dan lain-lain.

    “Insya Allah, pada tahun-tahun mendatang, lebih banyak buku ilmiah akan diterbitkan oleh UNISSA untuk dimanfaatkan oleh ummah sejagat,” ujarnya.

    Sudut Buku UNISSA berkenaan juga akan dilaratkan di sekolah-sekolah terpilih lain, antara Ma’had Islam Brunei, Sekolah Menengah Arab Rimba dan Institut Tahfiz Al-Qur’an Sultan Haji Hassanal Bolkiah.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda