Tuesday, May 13, 2025
29.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Sudut Ibn Al-Thahabi dilancarkan di UTB

    Oleh Salawati Haji Yahya

    BANDAR SERI BEGAWAN, 31 OKT – Dalam usaha mempromosi kebudayaan Oman di negara ini, sekali gus memperkukuhkan lagi hubungan di antara Negara Brunei Darussalam dan Kesultanan Oman, sudut penerbitan Oman yang dinamakan Ibn Al-Thahabi telah dirasmikan hari ini di Perpustakaan Universiti Teknologi Brunei (UTB).

    Hadir bagi menyempurnakan perasmian sudut penerbitan buku-buku Oman itu ialah Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Hamzah bin Haji Sulaiman.

    Turut hadir menyaksikan perasmian sudut tersebut di Perpustakaan UTB itu ialah Timbalan Menteri Pendidikan, Datin Seri Paduka Dr Hajah Romaizah binti Haji Mohd Salleh, setiausaha tetap, timbalan setiausaha tetap, diplomat dari Qatar, Arab Saudi, Kuwait serta tetamu khas lainnya.

    Pada majlis itu, Yang Berhormat Menteri Pendidikan bersama tetamu yang lain berpeluang menyaksikan lebih dekat lagi mengenai buku-buku terbitan Kesultanan Oman yang terdapat di sudut perpustakaan berkenaan.

    Terdahulu dalam ucapan alu-aluan Pemangku Naib Canselor UTB, Haji Ady Syarmin bin Haji Mohd Taib melahirkan ucapan terima kasih kepada Kedutaan Kesultanan Omar di negara ini atas sumbangan 180 buah buku-buku terbitan dalam pelbagai tajuk antaranya sains dan perubatan.

    Yang Berhormat Menteri Pendidikan ketika menerima buku sumbangan yang disampaikan oleh TYT Sheikh Ahmed. – Gambar oleh Muiz Matdani

    “Koleksi buku-buku tersebut turut mengandungi buku-buku berupa kebudayaan, tradisi, sejarah, khazanah Kesultanan Oman dan lainnya,” jelasnya.

    Koleksi buku-buku tersebut, tambahnya lagi, akan diletakkan di ruang bawah perpustakaan UTB yang dianggap sebagai ‘harta utama’ perpustakaan.

    Nama sudut tersebut diambil daripada nama seorang tokoh iaitu Ibn Al-Thahabi atau nama sebenarnya Abu Mohammed Abdekkah bin Mohammed Al-Azdi, merupakan seorang doktor dan sarjana Oman yang terkenal dengan bukunya Kitba Al-Ma’a atau The Book of Water.

    Haji Ady Syarmin seterusnya menjelaskan bahawa perpustakaan UTB kini mempunyai lebih 33 ribu buah buku yang mana dianggarkan seribu unit adalah daripada koleksi media.

    “UTB juga baru-baru ini telah melabur untuk dua online databases iaitu Scopus dan Science Direct, di mana ScienceDirect akan membolehkan kakitangan dan pelajar mendapatkan akses kemasukan untuk mencari sehingga 4,127 jurnal dan lebih 29 buah buku,” katanya lagi.

    Manakala Duta Kesultanan Oman ke Brunei, Tuan Yang terutama Sheikh Ahmed bin Hashil Al-Maskari pula mengongsikan bahawa buku Kitba Al-Ma’a ini telah ditemui di Algeria dan kemudian disunting dan diterbitkan oleh Kementerian Warisan Negara dan Kebudayaan Kesultanan Oman pada 1996.

    TYT Sheikh Ahmed seterusnya menambah bahawa perasmian sudut terbitan Oman di UTB itu merupakan kali keempat diadakan, di mana kali pertama ia diadakan di Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) pada tahun 2016, diikuti di Universiti Brunei Darussalam (UBD) pada 2017 seterusnya di Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB) pada tahun 2018.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda