Oleh Pg Fairol RMF
BANDAR SERI BEGAWAN, 25 Feb – Syarikat Pemasaran Brunei Shell Sdn Bhd (BSM), petang tadi, telah melancarkan Sudut Liquified Petroleum Gas (LPG) di Kompleks Membeli-belah Time Square di sini.
Pelancarannya telah di-sempurnakan oleh Pengurus Besar BSM, Pengiran Shamhary bin Pengiran Dato Paduka Haji Mustapha bersama Ketua Penjenamaan dan Perhubungan, Awang Mohd Adini bin Haji Mohd Daini.
Sudut LPG merupakan pondok sehenti bagi pelanggan untuk membeli peralatan LPG seperti regulator LPG yang dilengkapi dengan pengehad aliran berlebihan (excess flow limiter), hos kalis api dan pek permulaan tiga dalam satu bagi kemudahan pelanggan.
Pek permulaan tiga dalam satu itu termasuk regulator pengehad aliran berlebihan, 2 meter hos kalis api dan pengapit hos.


Selain di sudut LPG, para pelanggan juga boleh membelinya di beberapa stesen minyak yang mempunyai sudut LPG iaitu Stesen Minyak Pengalayan, Kampung Kapok; Stesen Minyak ITM, Kampung Mentiri; Stesen Minyak KOPPMB, Menglait; Stesen Minyak SATENAGA, Kampung Tanjung Nangka; Stesen Minyak Amanah, Kampung Kilanas; Stesen Minyak PEKIRA, Kampung Jangsak; Stesen Minyak Berakas; Stesen Minyak IBA, Kampung Lambak Kanan; Stesen Minyak Pakatan, Pekan Tutong; Stesen Minyak Panglima, Kuala Belait dan Stesen Minyak Negalang, Temburong.
Pelanggan yang membuat pembelian semasa pelancaran sudut berkenaan akan menerima magnet peti ais secara percuma.