Saturday, May 3, 2025
29.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Sufian, Rania kini suami isteri

    Dengan sekali lafaz, penyanyi Malaysia, Sufian Suhaimi, 33, sah bergelar suami kepada pilihan hati, Rania Al Sadat, 25, pada majlis tertutup di Masjid Wilayah Persekutuan di sini, pagi tadi.

    Melalui kenyataan dikeluarkan, majlis pernikahan disempurnakan pada jam 9:30 pagi tadi, disaksikan ahli keluarga dan kenalan mempelai.

    Pada majlis itu, pengantin lelaki menyerahkan mas kahwin berupa satu dinar emas diiringi tiga dulang hantaran berbalas lima dulang, termasuk sebentuk cincin dan gelang buat pengantin perempuan.

    Sufian dan Rania berkenalan sejak 2022, Bagaimanapun, hubungan mereka pernah terputus dan dilapor Sufian memulangkan cincin risik, pada April tahun lalu.

    Namun, jodoh mereka kuat apabila pada Januari lalu, Sufian dilapor mengaku hubungannya dengan Rania kembali bertaut dan mereka sepakat memilih Februari untuk mengikat tali pertunangan.

    Sufian dan Rania dinikahkan di Masjid Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur. – Berita Harian online

    Selepas mendapat persetujuan daripada kedua-dua keluarga, mereka melangsungkan pernikahan hanya dua bulan selepas bertunang.

    Sementara itu, Sufian memaklumkan majlis resepsi akan diadakan secara sederhana dan tertutup dalam kalangan ahli keluarga terdekat sahaja.

    “Majlis itu akan diadakan di ibu kota dengan jumlah jemputan yang terhad. Biarpun sudah berumah tangga, kami akan terus komited dengan kerjaya masing-masing.

    “Saya kini sedang menyiapkan album sulung yang dijangka dilancarkan akhir tahun ini,” katanya.

    Sempena tarikh keramat ini, Sufian yang popular lagu Di Matamu itu turut mempersembahkan karya istimewa berjudul Saksi, iaitu hasil ciptaan Sirkhan, Namjan dan Rinkarnaen.

    Lagu ini membawa naratif kisah cinta pasangan ini dan turut disertakan dengan muzik video eksklusif yang boleh ditonton di saluran YouTube rasmi Sufian, mulai jam 2 petang ini.

    Lebih istimewa, Rania turut membuat kemunculan khas dalam muzik video itu sebagai simbolik kepada perjalanan cinta mereka yang sudah termeterai dengan akad. – Agensi

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda