Friday, May 9, 2025
28.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Sufian Suhaimi dedikasi puisi untuk Tun M

    Tun Dr Mahathir Mohamad, tokoh negarawan paling dikagumi ramai dan hal berkenaan tidak terlepas pada penyanyi, Sufian Suhaimi yang mengagumi keperibadian beliau.

    Sufian Suhaimi telah mencipta puisi untuk negarawan itu dalam buku puisi sulung, Di Matamu Senandika Sufian Suhaimi.

    Sufian menyanjung tinggi bakat kepimpinan dan sifat terpuji Dr Mahathir hingga tercipta puisi berjudul ‘Terima Kasih Tun’ (Buat Seorang Mahathir).

    “Puisi itu adalah pengamatan saya dalam banyak aspek termasuk personaliti dan kepintaran Dr Mahathir biarpun dihambat usia.

    “Saya melihat Dr Mahathir sebagai sosok yang dikagumi ramai. Jasa dan sumbangannya cukup besar kepada kita rakyat Malaysia dan seluruh dunia,” katanya pada majlis pelancaran buku puisi itu di sebuah premis acara di ibu negara, baru-baru ini.

    Sufian Suhaimi mencipta puisi buat tokoh negarawan Tun Dr Mahathir Mohamad. – Agensi

    Buku puisi memuatkan 66 sajak dan luahan bicara Sufian terbitan Nineflix Resources, dilancarkan Sasterawan Negara, Datuk Dr Zurinah Hassan.

    Koleksi puisi dan catatan penyanyi terakhir itu adalah berkisar pengalaman hidup, cinta, keluarga, kerjaya dan cita-cita yang dikumpul sejak tahun 2012.

    Selain segmen baca puisi, Sufian turut mendendangkan lagu popularnya, Di Matamu kepada tetamu.

    Sementara itu, Zurinah memuji usaha Sufian mengangkat sastera Melayu kepada anak muda sesuai dengan pengaruh dan populariti penyanyi itu.

    “Saya bangga anak muda sepertinya mahu menceburi dunia penulisan. Bagi anak seni yang berjinak-jinak dengan dunia ini, saya lihat ini petanda positif yang perlu dicontohi.

    “Cuma harus diingat, hendak menulis bukan hanya kata-kata indah disusun. Paling penting, harus tahu apa yang mahu ditulis, idea, pemikiran, keprihatinan terhadap sekeliling, taraf pengetahuan dan pembacaan.

    “Saya perhatikan Sufian cukup adunan untuk jadi penulis puisi yang baik kerana latar belakang termasuk tahap pendidikannya,” katanya. – Agensi

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda