Sufian Suhaimi teruja nyanyi lagu raya ciptaan komposer ‘Legend’

Penyanyi Sufian Suhaimi teruja apabila dapat berkolaborasi bersama barisan artis di bawah naungan syarikat rakaman Aries Music dalam lagu raya terbaharu berjudul Suasana Hari Lebaran.

Lebih membanggakan apabila lagu tersebut merupakan ciptaan komposer hebat, S Atan dan lirik pula dihasilkan oleh Siso Kopratasa.

Menurut Sufian, ini adalah lagu pertama menggabungkannya dengan lima lagi penyanyi dan merupakan impiannya untuk menyanyikan lagu hasil sentuhan komposer berpengalaman itu.

“Ini adalah lagu raya pertama yang menggabungkan saya dengan artis Aries… rasa seronok dia lain macam lebih-lebih lagi dapat bekerjasama dengan komposer yang memang legend!

“Apabila menyanyikan lagu yang ditulis komposer terkenal, saya rasa ianya bagaikan satu penghargaan dan memang rasa kelainan antara komposer lama dan baharu.

“Apabila dengar lagu ni kita dapat rasa vibe lagu-lagu raya yang biasa kita dengar dari kecil, macam ada magik yang kita rasa… sangat seronok dapat peluang menyanyikan lagu ini,” katanya kepada media.

Suasana Hari Lebaran merupakan gabungan vokal enam penyanyi remaja iaitu Sufian Suhaimi, Luqman Faiz, Aiman Tino, Fieya Julia, Fara Hezel dan Yazid Izaham.

Memandangkan terikat dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Sufian berkata video muzik (MV) terpaksa dirakamkan oleh penyanyi sendiri di rumah masing-masing. – Agensi

Sufian Suhaimi teruja menyanyikan lagu raya ciptaan komposer hebat. – Agensi