Sufizan raih gangsa

Oleh Fadhil Yunus di Filipina

FILIPINA, 8 DIS – Atlet Negara Brunei Darussalam, Muhammad Sufizan bin Mohammad Sufian berjaya meraih pingat gangsa dalam acara Kumite Perseorangan Lelaki 67kg di Sukan Asia Tenggara (SEA) ke-30 di Pusat Dagangan Dunia Pasig, Filipina.

Berkenan menyaksikan perlawanan tersebut ialah Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Bendahara Seri Maharaja Permaisuara Pengiran Muda Haji Sufri Bolkiah
Atlet negara memastikan negara diwakili di podium se-telah meraih kemenangan 3-2 menentang atlet Indonesia, Tebing Hutapea dalam pusingan repechage.

Pasukan karate negara juga mengakhiri persaingan selama tiga hari tanpa meraih sebarang pingat dan kejayaan memperoleh pingat pertama dalam sukan ini mengiringi pungutan pingat dalam acara boling padang, bola jaring, pencak silat dan wusyu yang berjaya menawan podium.

Muhammad Sufizan memulakan kempen dalam suku akhir dengan kemenangan tipis 8-7 menentang Muhammad Arif Afifuddin Ab Malik dari Malaysia.

Sementara itu, rakan sepasukan Awangku Muhammad Abdul Quddus bin Pengiran Haji Zainal kehilangan pingat gangsa dalam acara Kumite Perseorangan Lelaki 60kg selepas tewas 2-10 kepada Salanh Manisinh dari Laos.

DYTM Paduka Seri Pengiran Bendahara Seri Maharaja Permaisuara Pengiran Muda Haji Sufri Bolkiah berkenan menyaksikan perlawanan tersebut. – Gambar oleh Infofoto

Awangku Muhammad Abdul Quddus mempersembahkan aksi terbaik dalam kempen tahun ini selepas menang 7-4 ke atas pemain Kemboja, Kouyhav Ly di pusingan suku akhir.

Bagaimanapun, wakil negara itu gagal melangkah ke perlawanan pingat emas dan beralih ke pusingan repechage selepas kalah 0-4 kepada Rifki Arrosyiid dari Indonesia dalam perlawanan separuh akhir.

Sementara itu, Kumite Perseorangan Wanita 55kg, Amirah Syahidah Abdul Rahim tewas 10-3 kepada atlet Filipina, Mae Soriano.

Pasukan karate wanita yang terdiri daripada Rodhyatul Adhwanna Bakar, Amirah Syahidah Abd Rahim dan Farhana Najeeha binti Abdul Rahman mengumpul mata keseluruhan 22.48 mata dalam Pool A.

Kutipan mata itu melayakkan mereka ke pusingan repechage di mana mereka kalah kepada pasukan Filipina selepas mengumpul 22.68 mata bersama lawannya meraih pingat gangsa bersama dengan 24.0 mata.

Kontinjen negara setakat ini berjaya merangkul satu emas, lima perak dan enam gangsa.
Brunei dijangka menjanjikan sekurang-kurangnya satu pingat perak esok daripada pasukan polo yang akan bertemu dengan pasukan Malaysia di perlawanan akhir gol rendah 0-2.