Hospital Severance mengumumkan mereka telah menubuhkan sebuah pusat rawatan khas untuk individu dengan Gangguan Spektrum Austism (ASD), hasil kerjasama dengan anggota kumpulan BTS, Suga, yang diberi nama sebagai Pusat Rawatan Min Yoongi di Dewan Jejungwon.
Menurut Allkpop, pusat itu akan memberi tumpuan kepada terapi bahasa, psikologi dan tingkah laku serta menjalankan pelbagai program yang menggabungkan rawatan klinikal dan penyelidikan bagi menyokong kesihatan mental.
Sepanjang kerjayanya, Suga aktif dalam aktiviti kebajikan dan amat prihatin terhadap isu kesihatan mental, khususnya kemurungan dalam kalangan belia. Dengan hasrat untuk menggunakan bakat muziknya demi kebaikan, dia mula meneroka cara bermakna untuk memberi sumbangan.
Pada November tahun lalu, Suga bertemu dengan Profesor Chun Geun-ah, pakar psikiatri kanak-kanak utama di Hospital Severance. Hasil daripada beberapa perbincangan, mereka menyedari keperluan rawatan yang disesuaikan dan jangka panjang untuk individu dengan ASD memandangkan intervensi jangka pendek sedia ada sering tidak mencukupi.
Mereka kemudian bersetuju sebuah pusat rawatan khas berjangka sederhana hingga panjang amat diperlukan, dan Suga berikrar menyumbang 5 bilion KRW, sebuah sumbangan terbesar oleh seorang artis kepada Hospital Severance atau Pusat Perubatan Universiti Yonsei.
Dari hujung 2023 hingga awal 2024, Suga dan Profesor Chun membangunkan program kemahiran sosial berasaskan muzik yang dinamakan ‘MIND’ iaitu Music, Interaction, Network, Diversity yang disesuaikan untuk kanak-kanak dan remaja yang mengalami penyakit ASD. – Agensi
