Saturday, September 14, 2024
23.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Suga BTS mohon maaf kali kedua

    Selepas didakwa membuat kenyataan palsu susulan ditahan menunggang skuter dalam keadaan mabuk pada 6 Ogos lalu, anggota kumpulan BTS iaitu Suga tampil memohon maaf buat kali kedua.

    Suga, 31, mengakui kenyataannya sebelum ini dibuat secara terburu-buru sehingga menimbulkan kekeliruan ramai pihak.

    “Pada malam 6 Ogos, saya melakukan kesalahan dengan membawa skuter elektrik di laluan pejalan kaki ketika dalam pengaruh alkohol. Saya ingin memohon maaf atas kekeliruan disebabkan oleh permohonan maaf yang pertama. Saya tergesa-gesa berkongsi kenyataan itu, sepatutnya saya berfikir panjang,” katanya menerusi satu surat kepada peminat.

    Dalam pada itu, Suga turut menyesali tindakannya yang telah mencemarkan reputasi baik BTS. Kecewa dengan diri sendiri, Suga menjelaskan dia rela menerima kritikan mahupun hukuman atas kesalahannya.

    Sebelum ini, Suga tampil dengan kenyataan menjelaskan dia ditahan ketika meletakkan skuter itu di hadapan rumahnya. Bagaimanapun, muncul rakaman litar tertutup CCTV memaparkan penyanyi itu terjatuh ketika sedang menunggang kenderaan itu di kawasan awam. Susulan itu, ramai pihak marah dengan tindakan Suga yang dikatakan menipu dan memutar belitkan fakta demi menutup malu.

    Pada 23 Ogos lalu, Suga dilaporkan hadir ke Balai Polis Yongsan, Seoul untuk membantu sesi soal siasat bagi kes membabitkan dirinya itu. – Agensi

    Suga didakwa memutar belit fakta dalam kenyataan pertamanya. – mStar
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda