Oleh Ak Zaki Kasharan
BANDAR SERI BEGAWAN, 29 Jun – Bagi menyemarakkan lagi Sambutan Hari Raya tahun ini, SugarBun Brunei bersama-sama Radio Brunei telah menganjurkan Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri bersama Yayasan Kanser Kanak-kanak (YASKA) yang berlangsung di Hamberly Hills Times Zone Edutainment di Kompleks Membeli-Belah Times Square Berakas, petang tadi.
Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Pengarah Radio Televisyen Brunei, Haji Muhammad Suffian bin Haji Bungsu. Turut hadir pada majlis berkenaan ialah Pengarah Urusan Satami Group of Companies, Chan Fui Meng dan Pengarah Besar SugarBun Brunei, Dayang Irene Sandra Liza binti Abang Isnawi.
Seramai 20 orang kanak-kanak daripada YASKA diraikan pada acara tersebut, di mana mereka turut menerima hadiah sumbangan yang disempurnakan penyampaiannya oleh tetamu kehormat.


Haji Muhammad Suffian ketika berucap pada majlis tersebut menyatakan bahawa majlis itu merupakan salah satu daripada projek Jalinan Kasih yang diungkayahkan oleh kelima-lima rangkaian perkhidmatan radio, Radio Televisyen Brunei dalam meneruskan usahanya dalam mendukung hasrat kerajaan mewujudkan masyarakat yang penyayang, prihatin dan pemedulian kepada mereka yang kurang bernasib baik serta memerlukan bantuan.
Pelbagai aktiviti serta permainan turut disediakan bagi meraikan serta memeriahkan lagi majlis tersebut di samping bagi menceriakan kanak-kanak YASKA lebih-lebih lagi dalam meraikan Sambutan Hari Raya Aidilfitri yang meriah.
Setakat ini lebih 100 orang kanak-kanak penghidap kanser di negara ini sedang menjalani rawatan manakala antara 10 ke 15 orang kanak-kanak di negara ini setiap tahun dilaporkan menghidap penyakit kanser seperti leukemia, tumor otak dan sebagainya.