BANDAR SERI BEGAWAN, 30 JULAI – Bagi menutup hujung minggu pertama Kejohanan Baiduri Masters ke-25, sesi eksklusif bagi pemilik kumpulan BMW telah diadakan pada pagi tadi sebelum saingan utama dilanjutkan pada sebelah petang di mana kejohanan tersebut menyaksikan Suhaimi bin Haji Ibrahim hampir berjaya merampas kedudukan teratas Baiduri Masters daripada Muhd Irwan Hamid dengan menyamai keputusan teratas 3-under.
Bryan Chiew Chun Hao (2-under) jatuh ke tangga ketiga, manakala Awangku Mohd Syakir bin Pengiran Alli (1-under) juga tergelincir dari kedudukan sebelumnya, di mana kini Lai Suan Loong (par) mencatat kejayaan memasuki kumpulan lima terbaik sekali gus menjatuhkan kedudukan Muhd Qawi Fakhri (par) ke tangga keenam.
Juara Baiduri Masters 2018, Johari bin Haji Ahmad, Asmawi Ismail, dan Moksin Junaidi, bersaing sengit apabila kedua-duanya menyaksikan keputusan 1-over sama, manakala Pengiran Haji Ahmad Zaki Al Hakim bin Pengiran Haji Jambol (2-over), Semuil Apoi (3-over), dan Diny bin Haji Karim (3-over) menyempurnakan kumpulan 12 teratas.
Manakala Almas Syazwani Kamis menyudahi kejohanan tersebut di kedudukan teratas dalam kategori Wanita, mencatatkan keputusan 7-over pada hari kedua kejohanan.
Sehingga kini, terdapat tujuh pemain golf yang bertanding dalam kategori Terbuka Wanita, bersaing untuk menjadi yang pertama merebut Jaket Hijau Wanita Baiduri Masters.
Para peserta bersaing untuk merebut Piala Cabaran baharu dan Jaket Hijau yang menjadi idaman. Hadiah hole-in-one, termasuk BMW iX3 di lubang 16, Mini Cooper 3 Door Edisi Brick Lane pada lubang 9, atau $20,000 di lubang 7 dan 13.
Kejohanan Baiduri Masters akan disambung semula pada 4 Ogos nanti. Pendaftaran bagi Baiduri Masters masih dibukakan hingga minggu depan. Para peserta yang berminat bolehlah mendaftarkan penyertaan mereka dalam kejohanan tahun ini dengan menghantar borang pendaftaran dan membuat pembayaran penuh di kaunter pendaftaran di Kelab Golf Pantai Mentiri.
Hasil daripada kejohanan tersebut akan disumbangkan kepada beberapa organisasi kebajikan termasuk SMARTER Brunei, Learning Ladders Society, dan YASKA.