PARIS, 15 JUN – Purata suhu global pada awal Jun adalah yang paling panas yang pernah dicatatkan oleh unit pemantauan iklim Kesatuan Eropah (EU) untuk tempoh itu, mengatasi rekod sebelumnya dengan ‘margin yang besar,’ kata mereka hari ini.
Berita itu muncul apabila fenomena iklim El Nino telah tiba secara rasmi, meningkatkan kebimbangan cuaca ekstrem dan lebih banyak rekod suhu.
“Dunia baru sahaja mengalami rekod paling panas pada awal Jun, selepas bulan Mei yang kurang daripada 0.1 darjah Celsius lebih sejuk daripada Mei paling panas dalam rekod,” kata Samantha Burgess, timbalan pengarah Perkhidmatan Perubahan Iklim Copernicus (C3S).
“Purata suhu udara permukaan global untuk hari pertama Jun 2023 adalah yang tertinggi dalam rekod data ERA5 untuk awal Jun dengan margin yang besar,” kata Copernicus. Sebahagian daripada data unit itu bermula pada tahun 1950.
Copernicus baru-baru ini mengumumkan bahawa lautan global lebih panas pada bulan lepas berbanding mana-mana bulan Mei yang lain dalam rekod.
Unit itu juga berkata bahawa pada awal Jun, suhu global melebihi paras pra-industri lebih daripada 1.5C, yang merupakan had tertinggi bagi pemanasan global dalam Perjanjian Paris 2015.
Menurut data, suhu purata global harian berada pada atau melebihi ambang 1.5C antara 7-11 Jun, mencapai maksimum atas 1.69C pada 9 Jun. – AFP


