Sunday, April 13, 2025
25.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Suhu global cecah rekod bulan Mac

    PARIS, 8 APRIL – Suhu global cecah tahap tertinggi dalam sejarah sepanjang Mac, kata badan pemantau iklim Eropah sekali gus meneruskan rentetan cuaca panas yang luar biasa dan mencabar jangkaan saintifik.

    Di Eropah, Mac telah mencatatkan suhu paling panas pernah direkodkan dengan jurang yang amat ketara, kata Perkhidmatan Perubahan Iklim Copernicus, yang turut memacu kejadian hujan ekstrem di seluruh benua yang sedang mengalami pemanasan lebih cepat berbanding di rantau lain.

    Sementara itu, dunia turut mencatatkan Mac sebagai bulan kedua terpanas dalam pangkalan data Copernicus, mengekalkan rentetan suhu rekod atau rekod yang hampir tidak terputus sejak bulan Julai 2023.

    Sejak itu, hampir setiap bulan, statistik telah menunjukkan peningkatan suhu sekurang-kurangnya 1.5 darjah Celsius lebih panas berbanding era praindustri, ketika manusia mula membakar arang batu, minyak dan gas secara besar-besaran. Mac turut mencatatkan peningkatan suhu sebanyak 1.6°C berbanding tahap praindustri, meneruskan anomali yang amat ekstrem hingga para saintis masih berusaha memahami punca sepenuhnya.

    “Hakikat kita masih berada pada paras 1.6°C lebih panas daripada tahap praindustri sememangnya luar biasa,” kata Friederike Otto dari Institut Grantham untuk Perubahan Iklim dan Alam Sekitar, Kolej Imperial London.

    Para saintis turut memberi amaran setiap pecahan darjah suhu global akan meningkat kekuatan dan kekerapan kejadian cuaca ekstrem seperti gelombang haba, hujan lebat dan kemarau yang teruk.

    Perubahan iklim bukan sekadar mengenai peningkatan suhu, tetapi juga kesan berantai daripada lebihan haba yang terperangkap di atmosfera dan lautan, akibat gas rumah hijau seperti karbon dioksida dan metana.

    Peningkatan suhu laut akan mengakibatkan kadar penyejatan yang lebih tinggi dan udara yang lebih lembap, sehingga mencetuskan hujan lebat serta memperkuat tenaga siklon.

    Fenomena itu turut mengganggu corak taburan hujan di peringkat global. – AFP

    Gambar Freepik
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda