PARIS, 4 MEI – Dengan suhu permukaan laut meningkat ke paras tertinggi dalam beberapa minggu kebelakangan ini, saintis memberi amaran bahawa pencemaran karbon manusia berpotensi mengubah lautan menjadi ‘bom jangka’ pemanasan global.
Lautan menyerap kebanyakan haba yang disebabkan oleh gas pemanasan planet, mencetuskan gelombang haba yang membahayakan hidupan akuatik, selain mengubah pola cuaca dan mengganggu sistem pengawalan planet yang penting.
Walaupun suhu permukaan laut biasanya menurun dengan cepat daripada puncak tahunan, tahun ini ia kekal tinggi, dengan saintis memberi amaran ia menambah kesan perubahan iklim yang teruk.
“Lautan, seperti span, menyerap lebih daripada 90 peratus peningkatan haba yang disebabkan oleh aktiviti manusia,” kata ahli lautan terkemuka, Jean-Baptiste Sallee, dari agensi penyelidikan Perancis CNRS.

Tahun demi tahun pemanasan lautan meningkat pada “kadar yang amat membimbangkan”, beritahunya kepada AFP.
Pada awal April, purata suhu permukaan lautan, tidak termasuk perairan kutub, mencecah 21.1 darjah Celsius, mengatasi rekod tahunan 21C yang ditetapkan pada Mac 2016, menurut data dari balai cerap NOAA Amerika Syarikat yang bermula sejak 1982.
Walaupun suhu mula menurun pada penghujung bulan, ia kekal melebihi rekod bermusim sejak enam minggu lalu, dengan kebimbangan fenomena cuaca El Nino yang semakin panas mungkin mengeluarkan lebih banyak haba ke dalam sistem iklim.
“Memandangkan air lebih panas, penyejatan akan meningkat dan risiko siklon yang lebih kuat, dan mungkin memberikan kesan kepada arus lautan,” kata ahli lautan Catherine Jeandel, dari CNRS.
Para saintis menjangkakan bahawa haba berlebihan yang disimpan di perairan dunia akhirnya akan dikembalikan ke sistem Bumi dan menyumbang kepada lebih banyak pemanasan global. – AFP

