KAUTOKEINO, Norway – Suhu musim sejuk di Norway Lapland boleh meningkat secara mendadak pada abad ini, dengan kemungkinan sesuatu yang buruk akan dialami oleh rusa-rusa kutub di rantau ini dan juga penduduk-penduduk asli Sami yang menggembala rusa tersebut.
Sebuah kawasan tundra yang sejuk membeku, berada di kawasan dataran pergunungan Finmark di utara Norway, kini mengalami musim panas, dan menyebabkan masalah dan perubahan dalam corak kehidupan masyarakat Sami di sana yang telah wujud berkurun-kurun lamanya.
“Kami sudah merasa kesan-kesan pemanasan global di sini,” kata Per Gaup, seorang penternak rusa kutub dalam linkungan usia 60-an. “Saya dapat melihat bahawa kita kehilangan lebih banyak rusa kutub di sini akibat daripada perubahan iklim.”
Di sini, iklim benua yang mempunyai musim sejuk dan kering itu kini menjadi seperti sebuah kawasan pantai, dengan mempunyai suhu yang lembab dan sering mengalami hujan. Perubahan ini telah memberi kesan kepada keadaan rumput di sana bagi 146,000 rusa kutub (separuhnya diternak) di rantau ini yang memakan tumbuhan liken dan lumut yang berada di bawah salji.
“Apabila banyak salji dan ia menjadi keras, haiwan-haiwan boleh mati kerana kekurangan makanan,” kata Gaup, yang sedang menunggang kereta salji beliau.

Salah satu daripada dialek Sami mengira sebanyak 318 perkataan bagi menggambarkan jenis-jenis salji. ‘Seanas’, sebagai contoh, bermakna sejenis salji kasar yang sesuai bagi rusa kutub tersebut untuk menggali tumbuhan liken dan lumut dengan menggunakan telapak kukunya.
Tetapi ia haruslah mempunyai cuaca yang sangat sejuk untuk mendapatkan salji seperti itu. Sementara suhu di Kautokeino, hab utama penternakan rusa kutub di Norway, pada dahulunya mempunyai cuaca sehingga -40 darjah Celsius (-40 darjah Fahrenheit) selama beberapa minggu pada satu masa, namun kini ia jarang berlaku dan mempunyai masa yang singkat.
Dan keadaan pada masa ini akan memberi bayangan terhadap apa yang berlaku di masa hadapan. Suhu cuaca di sana dijangka akan meningkat sehingga tujuh atau lapan darjah Celsius pada musim sejuk di Finmark menjelang akhir abad ini, menurut Rasmus Benestad, seorang penyelidik di Institut Meteorologi Norway.
Masalah yang sering dihadapi oleh rusa kutub pada masa ini adalah ia cuba untuk mengubah cara kehidupannya dalam tempoh pencairan dan pembekuan, di mana lapisan ais yang tebal mengakibatkan rusa kutub kelaparan oleh kerana telapak kukunya tidak dapat menembusi ais dan mencapai makanannya.
Apabila rusa kutub tidak dapat mencari tumbuhan liken dan lumut di kawasan pemakanan rumputnya, ia akan mencari di padang rumput yang lain. Ia boleh menyebabkan konflik diantara penggembala terhadap kawasan-kawasan rumput mereka, di mana ditentukan secara rasmi, dan para pengembala perlu berusaha lebih untuk mencari makanan rusa-rusa kutub mereka dan ini membebankan buat mereka.
Iklim yang berubah-ubah ini juga merumitkan para penternak dua kali setahun, apabila penggembala cuba memindahkan rusa kutub mereka dari kawasan pemakanan musim panas di sepanjang pantai ke kawasan pergunungan Finmark pada musim sejuk.
Oleh kerana musim luruh yang panjang, ais pada masa ini lebih nipis dan tidak dapat diramalkan, dan ini boleh memberi kesan terhadap rusa-rusa kutub mereka semasa menyebarang jalan air, dan kadang-kadang menyebabkan haiwan-haiwan tersebut dan para penggembala terjatuh ke dalam sungai.


“Keadaan semakin teruk dan bertambah teruk lagi,” kata penggembala. “Tahun lepas, saya kehilangan sekurang-kurangnya 12 ekor rusa kutub yang jatuh melalui ais. Rusa-rusa tersebut mati. Saya tidak mampu untuk mengeluarkannya,” katanya.
Pada bulan November 2009, hampir 300 ekor haiwan terjunam ke dalam air dan lemas dalam kawasan sungai di negara jiran Sweden.
“Rusa kutub ini sentiasa hidup dengan iklim yang berubah-rubah dan ia cuba menyesuaikan diri dengan keadaan alam semula jadi ini,” kata Anders Oskal, pengarah Pusat Antarabangsa bagi Penternakan Rusa Kutub.
Penggalian dan pembangunan bagi perlombongan dan tenaga angin, dan juga kerja-kerja pembinaan jalan dan sektor pelancongan telah mencerobohi kawasan-kawasan padang rumput masyarakat Sami yang telah diamalkan oleh nenek moyang mereka.
“Rusa kutub boleh menjadi haiwan separuh jinak tetapi ia akan sentiasa cuba untuk menjauhkan diri dari kaum lelaki, terutama haiwan jenis betina dan anak rusa kutub yang masih muda,” kata Oskal.
Mathis Andreas, penternak berusia 47 tahun, bimbang tentang potensi atau impak daripada syarikat perlombongan Kanada, yang mempunyai minat terhadap tanah-tanah yang ada di sana, berdekatan dengan padang-padang rumput masyarakat Sami.
“Kita tidak boleh mengalu-alukan dengan tangan terbuka terhadap orang-orang yang cu-ba membinasakan kehidupan kita, cara hidup kita, tanah pusaka kita,” katanya.
“Tiada siapa selain kami yang pernah tinggal di sini. Sebuah syarikat hanya akan datang dan merebut apa yang menjadi kepunyaan kami dari generasi ke generasi yang lain, buat ratusan atau ribuan tahun?” – AFP