JUNO BEACH, 30 JAN – Penyu hijau yang mengalami kejutan suhu sejuk akibat cuaca sejuk melampau di utara Florida kini sedang menjalani rawatan pemulihan di sebuah pusat hidupan marin di Juno Beach.
Sebanyak 17 ekor penyu yang terdampar di sepanjang pantai Atlantik timur laut Florida dibawa ke Pusat Hidupan Marin Loggerhead bagi menerima rawatan susulan.
“Apabila cuaca di darat menjadi sejuk, suhu di lautan juga menurun. Ini menyebabkan banyak penyu terdampar atau menjadi lemah dan hanya terapung di permukaan air,” kata Ketua Pegawai Sains dan doktor haiwan pusat itu, Dr Heather Barron.
Bagi memudahkan pemantauan, kakitangan pusat tersebut menamakan setiap penyu mengikut nama minuman dan menanda nama itu pada cangkerang haiwan tersebut.
Penyu-penyu itu dirawat dengan antibiotik, cecair dan suntikan bagi mengembalikan tenaga penyu tersebut.
Fenomena suhu sejuk melampau yang membawa salji ke utara Florida minggu lalu adalah kejadian yang jarang berlaku. Suhu itu turut memberi kesan kepada penyu yang biasanya berhijrah ke perairan Florida pada musim sejuk untuk mendapatkan suhu lebih panas.
Menjelang pagi kelmarin, beberapa ekor penyu yang dinamakan Espresso, Pickle Juice dan Ginger Beer sudah mula menikmati pancaran matahari dalam tangki pemulihan khas dikenali sebagai ‘Party Tank’.
Penyu-penyu itu tiba di Juno Beach pada Jumaat lalu dari Pusat Sains Marin di Volusia County, Florida, selepas mengalami kejutan suhu sejuk yang menyebabkan pergerakan terhad dan menjadi lesu. Kebanyakan penyu itu dijangka dilepaskan semula ke laut dalam tempoh beberapa minggu akan datang.
Tahun lalu, kes serupa turut berlaku apabila penyu dari Massachusetts dibawa ke Florida untuk menjalani pemulihan akibat kejutan suhu sejuk. – AP