NEW DELHI, 13 JULAI – Suis kawalan bahan api pada enjin bagi penerbangan Air India yang terhempas telah bertukar daripada kedudukan run kepada cutoff sejurus selepas berlepas, beberapa saat sebelum kejadian yang mengorbankan 260 orang, kata laporan siasatan awal kelmarin.
Laporan itu, yang dikeluarkan oleh Biro Penyiasatan Kemalangan Pesawat India (AAIB), tidak memberikan sebarang kesimpulan terhadap kesilapan pada bencana 12 Jun lalu, tetapi menunjukkan seorang juruterbang bertanya kepada juruterbang di sebelahnya mengapa dia menukar kedudukan suis bahan api itu, namun juruterbang kedua tersebut berkata dia tidak melakukannya.
Boeing 787-8 Dreamliner itu dalam perjalanan dari Ahmedabad di barat India ke London apabila ia terhempas, membunuh semua kecuali seorang daripada 242 orang di dalamnya termasuk 19 orang di darat.
Dalam laporan 15 muka surat, biro penyiasatan berkata sebaik sahaja pesawat itu mencapai kelajuan tertinggi yang direkodkan, suis cutoff bahan api Enjin 1 dan Enjin 2 bertukar daripada kedudukan run ke cutoff satu demi satu dengan jarak masa satu saat.”
Pesawat itu dengan cepat mula kehilangan ketinggian.
Suis kemudian kembali pada kedudukan run dan enjin mula kelihatan mengumpul kuasa, tetapi salah seorang juruterbang menghantar mayday mayday mayday, kata laporan itu.
Pengawal trafik udara bertanya kepada juruterbang apa sebenarnya yang berlaku, namun kemudian melihat pesawat itu terhempas dan segera mengerah anggota kecemasan ke tempat kejadian. – AFP
