Oleh Normazlina M.D
TUTONG, 3 Feb – Lebih 2,500 helai pakaian berbagai jenis telah disumbangkan kepada keluarga yang memerlukan di Mukim Tanjong Maya, Tutong melalui Program Jelajah Sumbang dan Bantu Mukim ke Mukim ke Daerah Tutong yang dianjurkan oleh Sukarelawan Daerah Tutong (SUKA), hari ini.
Majlis sumbangan diadakan di Dewan Kemasyarakatan Kampung Tanjong Maya di mana hadir selaku tetamu kehormat bagi menyampaikan sumbangan pakaian itu ialah Ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Haji Abdul Wahab bin Apong yang juga merupakan Penghulu Mukim Tanjong Maya.
Menurut Setiausaha yang juga merupakan Ketua Urus Setia SUKA, Awang Muhammad Amir bin Haji Umarali juga selaku Pengerusi Sumbang dan Bantu, sejak program itu dijalankan, lebih 4,500 helai pakaian telah disumbangkan kepada orang yang memerlukan di beberapa buah mukim Daerah Tutong.
Selain menyampaikan sumbangan, SUKA juga membukakan Drop Point kepada orang ramai yang ingin menyalurkan sumbangan pakaian kepada yang memerlukan.
Program ini akan dilaratkan ke mukim-mukim lain seperti yang dihasratkan agar sumbangan-sumbangan yang diterima daripada orang ramai berkenaan dapat disalurkan serta diuruskan dengan lebih sempurna dan efektif.
Turut hadir di majlis itu ialah Ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Haji Umarali bin Esung dan Pegawai Daerah Tutong, Awang Shamsul Bahrin bin Haji Mohammad Hussein.