CONNECTICUT – Karen Smith telah didiagnosis menghidap sklerosis berbilang pada tahun 1990.
Pemain ski yang kompetitif itu mengimbau kembali apabila doktor masuk dan memberitahu dia mungkin tidak boleh berjalan lagi.
“Saya berkata kepadanya, ‘Nah, bagaimana saya akan bermain ski?'” kata Smith.
“Dia berkata, ‘Saya baru sahaja beritahu awda bahawa awda mungkin tidak dapat berjalan, adakah awda mendengarnya?’ Saya menjawab, ‘Memang saya dengar, tetapi bagaimana saya akan bermain ski?’ Itu lebih penting bagi saya.
“Saya tidak tahu apa-apa tentang sukan adaptif. Saya berkata, ‘Awda tidak tahu kehidupan saya, saya perlu tahu apa yang saya akan lakukan untuk bermain ski’.”


Smith, kini 73, dari East Haven, Connecticut, Amerika Syarikat, akhirnya mendapat tahu bahawa ada seseorang yang telah memulakan program sukan adaptif di Hospital Gaylord di Wallingford.
Dia ialah Ken Murphy, yang menjalankan program golf di hospital itu.
Smith pun menghubunginya dan mereka bercakap tentang ski adaptif.
Dari situlah bermulanya penglibatan Smith dengan Persatuan Sukan Gaylord, yang meraikan ulang tahun ke-30 tahun ini.
Apabila Murphy, yang meninggal dunia pada 2016, memulakan program itu, terdapat enam sukan iaitu golf, memanah, tenis, belayar, tai chi dan lawatan ski ke pergunungan yang menawarkan sukan ski adaptif.
Kini terdapat 17 sukan yang ditawarkan dan pada tahun lepas, lebih 250 orang menyertai program Gaylord.
Program itu terbuka kepada sesiapa sahaja dalam komuniti berusia lebih 16 tahun dan terdiri daripada aktiviti mendaki batu, ragbi berkerusi roda hingga hoki kereta luncur salji.
Smith berpeluang bermain ski dan berbasikal di gunung tetapi ia adalah hoki kereta luncur salji, di mana pemain menggunakan kereta luncur salji untuk bergerak, yang menarik minatnya.
Selepas bermain sebagai penjaga gol dalam pasukan selama bertahun-tahun, dia kini menjadi pengurus pasukan.
Empat ahli pasukan Gaylord bertanding dalam kejohanan hoki dunia luncur salji wanita baru-baru ini dan memenangi pingat emas.
Dalam proses, Smith membantu mendorong orang yang menjalankan program di Gaylord untuk menambah lebih banyak sukan dan juga berkhidmat sebagai duta, menggesa orang yang sedang menjalani pemulihan di hospital dan orang lain untuk menyertai.
JALAN MENUJU PEMULIHAN
Pada awalnya, program itu bukan entitinya sendiri dan dikendalikan oleh individu di jabatan rekreasi terapeutik.
“Ia amat kecil,” kata Smith.
“Mereka hanya boleh melakukan setakat yang mampu. Saya terus menggesa mereka, ‘Lihat sukan ini, lihat sukan itu.’
“Program ini terus berkembang menjadi lebih besar dan lebih besar dan lebih besar, mungkin kerana beberapa penyibuk seperti saya yang mendesak mereka.”
Pada tahun 2005, persatuan sukan menjadi entitinya sendiri dan Todd Munn dinamakan sebagai pengarah.
Program ini mula berkembang dan Katie Joly mengambil alih sebagai pengurus pada 2013.
“Ia bermula dengan Ken Murphy. Dia mula menawarkan klinik golf dan klinik memanah dan beberapa lawatan ski kepada pesakit di Gaylord sebagai sebahagian daripada perkhidmatan rekreasi terapeutik mereka untuk membantu pemulihan pesakit,” kata Joly.
“Dia melihat kepentingan sukan dan rekreasi dalam pemulihan seseorang.
“Sejak saya mengambil peranan itu, saya berjaya mengembangkan tawaran sukan dengan ketara serta jumlah orang di bawah perkhidmatan kami.
“Kami telah menggandakan jumlah tersebut sejak 10 tahun lalu.”
Lebih 250 peluang sukan adaptif ditawarkan setiap tahun, daripada kelas ke klinik ke kejohanan dan kelab dan terdapat juga tawaran sukan untuk veteran seperti memancing dan golf.
Kebanyakannya adalah percuma dan peralatan adaptif serta bimbingan juga disediakan.
Frank Selva, seorang profesional golf di Padang Golf Sleeping Giant yang tinggal di Bethany, telah melatih golf dan membantu pemain golf di Gaylord sejak dia bertemu dengan Murphy pada awal 90an.
“Saya berkata perkara yang paling penting adalah menarik minat orang ramai dan memberitahu orang ramai tidak kira apa masalahnya, jika mereka diserang angin ahmar atau kehilangan anggota tubuh badan, masih ada cara untuk keluar dan menikmati permainan itu,” kata Selva.
“Kami mula mengadakan klinik kecil di padang golf.
“Kami melakukan sedikit latihan dengan veteran.
“Kami menerima bantuan daripada Yayasan PGA, mendapat sedikit wang geran untuk membantu Gaylord membangunkan program dengan kelab, kami menyediakan kawasan yang orang ramai boleh datang dan berlatih serta memukul bola.
“Sepanjang tahun berkenaan, ia telah berkembang.”
KOMUNITI BAHARU
Smith pernah cuba golf, tetapi ia terlalu perlahan untuknya. Dia lebih suka berbasikal di gunung. Selepas dia mula bermain hoki kereta luncur salji dengan sebuah organisasi di luar Gaylord, dia mahu meneruskan apabila orang yang mengendalikan program itu bersara.
Jadi dia berjumpa dengan Gaylord dan bertanya sama ada mereka boleh membantu dengan program hoki kereta luncur.
“Mereka menerima kami,” kata Smith. “Sekarang kami adalah salah satu pasukan terbaik mereka. Kami telah mencapai kejayaan yang luar biasa dengan pasukan hoki kereta luncur.”
Smith adalah penjaga gol selama sembilan tahun dalam pasukan kebangsaan wanita sebelum dia terpaksa bersara daripada pertandingan kerana masalah bahu.
Tara McNeil dari West Hartford telah menjalani amputasi kaki dan tidak pernah bermain sukan.
Dia mendapat tahu tentang Persatuan Sukan Gaylord selepas amputasi pertamanya pada 2014 apabila dia menghadiri mesyuarat kumpulan sokongan orang yang menjalani amputasi di hospital.
Kini dia memanjat batu, meluncur ski air, basikal, papan salji dan telah mengambil bahagian dalam sukan memanah dan triatlon.
“Saya tidak pernah menganggap saya boleh melakukan apa-apa yang cergas,” kata McNeil. “Ia adalah komuniti baharu, dunia orang baharu.
“Ia mungkin dapat membantu kesihatan mental saya, tetapi ia juga membantu kesihatan fizikal saya.” – ANN/The Star

