KUALA LUMPUR, 1 Julai – Acara berbasikal trek Sukan Olimpik iaitu Madison, bakal dipertandingakn di Sukan Asia Indonesia yang dijadualkan membuka tirainya dari 18 Ogos hingga 2 Sept ini.
Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) dalam satu kenyataan media berkata presidennya, Datuk Abu Samah Abd Wahab yang juga Pengerusi Jawatankuasa Teknikal Trek Sukan Asia 2018, menerima pengesahan acara tersebut akan kembali dipertandingkan di Sukan Asia 2018 melalui e-mel rasmi daripada Majlis Olimpik Asia (OCA).
“Saya terima e-mel OCA lewat minggu ini. Secara jujur saya terperanjat dengan pendirian dan keputusan OCA ini namun keputusan ini sangat menggembirakan saya kerana saya membawa usul ini sebanyak dua kali di dalam mesyuarat dan taklimat perkembangan Sukan Asia 2018 di Jakarta.
Sebelum ini, penganjur iaitu INASGOC (Jawatankuasa Penganjur Sukan Asia Indonesia) secara tegas memaklumkan bahawa ia telah terima lampu hijau daripada OCA untuk tidak mempertandingkan acara madison,” katanya.
Keputusan terbaru OCA itu bermakna semua cadangan yang dikemukakan oleh Abu Samah telah diterima sekali gus mewujudkan potensi peluang lebih besar untuk pasukan trek kebangsaan Malaysia untuk meraih pingat menerusi acara trek di Sukan Asia 2018.
Sebelum ini, tiga acara trek utama Sukan Olimpik iaitu keirin, acara pecut 200 meter dan 500 meter ujian masa elit wanita, juga tidak disenaraikan dalam acara trek Sukan Asia 2018 di Jakarta.
Keputusan yang dibuat INASGOC itu sekali gus menerima bantahan keras daripada lebih 20 negara gabungan Berbasikal Trek Asia (ACC) termasuk Malaysia, Korea Selatan, Jepun, Taiwan, Thailand dan Hong Kong. – Bernama