Pelakon, Datin Intan Najuwa kini kian aktif dalam sukan berkuda, lebih lagi selepas mendirikan rumah tangga dengan suaminya, Datuk Ahmad Azraf Azman.
Intan atau nama penuhnya, Intan Najuwa Abdul Wahid, 28, berkata sunnah Rasulullah SAW itu dilakukan bersama suami sebagai aktiviti merapatkan hubungan suami isteri.
“Alhamdulillah, saya aktif berkuda sejak berkahwin. Sebenarnya suami saya lebih aktif, kadang-kadang saya akan sertai kalau rasa bosan.
“Hendak kata aktif, tidaklah sangat, tapi seminggu dua tiga kali. Boleh keluarkan peluh dan hargai hadiah kuda yang diberikan suami.
“Pada awalnya sebagai hobi, tetapi lama-kelamaan menjadi minat dan dapat luangkan masa bersama suami.
“Aktiviti ini juga bagus untuk kesihatan mental dan hubungan suami isteri termasuk merapatkan kami, bangun pagi, pergi sarapan kemudian lakukan sukan kuda ini bersama,” katanya kepada BH Online.
Intan yang popular menerusi drama Kekasih Paksa Rela berkata, sukan kuda juga agak baharu baginya dan hanya mula mendalami selepas berkahwin.
“Sebenarnya selepas berkahwin barulah saya belajar sukan kuda. Sebelum kahwin buat apa, asyik bekerja. Kerja dan belajar sahaja rutin sebelum kahwin, macam robot.
“Selepas berkahwin, jadual hidup semakin longgar jadi, ada masa untuk lakukan aktiviti sihat. Sekarang saya sudah ada lima kuda. Semua kuda itu ada pasport sendiri,” katanya.
Bagaimanapun, Intan kurang selesa untuk berkongsi berkenaan harga setiap kuda dimiliki.
Sebelum ini, sekitar September tahun lalu, Intan pernah berkongsi kepada umum apabila menerima hadiah seekor kuda berwarna putih daripada Ahmad Azraf sempena ulang tahun kelahiran ke-26. – Agensi