Jumaat, 21 November 2025
24.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Sukan boling kukuh ikatan sosial PERWIRA, POLSARA

    Oleh Yusrin Junaidi

    BANDAR SERI BEGAWAN, 22 OKT – Seramai 40 peserta yang terdiri daripada ahli-ahli Persatuan Veteran Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (PERWIRA) dan Pesara Pasukan Polis Diraja Brunei (POLSARA) telah menyertai Perlawanan Persahabatan Tenpin Boling yang julung kali diadakan di Pusat Boling iBowl Utama kelmarin.

    Tujuan perlawanan tersebut diadakan adalah bagi memperkukuhkan ikatan sosial sesama warga PERWIRA dan POLSARA di samping menggalakkan persaingan sihat serta memupuk semangat berpersatuan.

    Aktiviti itu juga menjadi wadah untuk mengenal pasti serta membangunkan bakat baharu yang berpotensi dalam sukan boling selain meningkatkan disiplin, daya saing dan budaya kecemerlangan dalam kalangan ahli persatuan.

    Hadir menyertai perlawanan tersebut ialah Yang Di-Pertua PERWIRA, Leftenan Kolonel (B) Ramli bin Abd Hadis dan Yang Di-Pertua POLSARA, Supt (B) Haji Awang Yahya bin Haji Ibrahim bersama para ahli kedua-dua persatuan serta ahli keluarga veteran PERWIRA dan POLSARA.

    Menurut pihak penganjur, aktiviti seumpama itu akan terus diungkayahkan secara berterusan sebagai sebahagian daripada inisiatif untuk menggalakkan penyertaan aktif ahli PERWIRA dan POLSARA dalam kegiatan fizikal, selain membina hubungan persatuan yang kukuh serta memberi manfaat kepada semua ahli.

    Atas & Bawah: Antara sesi bergambar ramai semasa acara berkenaan.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda